NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Gerakan Lgbt: Ancaman Yang Semakin Dibuka Jalan




KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
13 Ogos 2018

GERAKAN LGBT: ANCAMAN YANG SEMAKIN DIBUKA JALAN


1. Negara kini sedang berhadapan dengan suasana tegang ekoran daripada beberapa insiden yang melibatkan perjuangan hak golongan LGBT. Ia bermula dengan kenyataan Marina Mahathir yang mahu golongan LGBT tidak didiskrimasi daripada mendapat hak sebagaimana rakyat yang lain. Tulisan balas seorang doktor perubatan, Dr Ilyani telah dikecam hebat oleh golongan LGBT sehingga ia dipadam oleh facebook. Kini beliau sedang berhadapan dengan aduan awam dan gesaan agar beliau diambil tindakan tatatertib oleh pihak kerajaan.

2. Kita juga digemparkan dengan satu ekspo di Pulau Pinang yang telah mengangkat figur aktivisme LGBT seperi Siti Kassim, Pang Khee Teik dan Nisha Ayub. Susulan daripada kecaman awam, YB Datuk Dr Mujahid telah mengarahkan agar potret mereka diturunkan tetapi ia tidak dipersetujui oleh YB Chong Eng, ADUN DAP bagi Padang Lalang yang merupakan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam, Pulau Pinang. Apa yang menjadi persoalan adalah apakah agenda di sebalik tindakan ADUN DAP tersebut sedangkan beliau pasti sedar akan sensitiviti isu berkenaan.

3. Lebih membimbangkan adalah kandungan kenyataan media Datuk Dr Mujahid bersama aktivis golongan transeksual, Nisha Ayub yang berlangsung Jumaat lepas yang dilihat sebagai pembuka jalan kepada pengiktirafan gaya hidup LGBT dalam negara. Dr Mujahid dilihat tidak cermat sehingga menimbulkan kekeliruan di kalangan orang awam antaranya isu penggunaan tandas wanita dan ruang solat oleh golongan transgender.

4. Dewan Pemuda PAS Malaysia melihat perkembangan ini sebagai sangat merisaukan. Dalam keadaan kami menyokong sebarang usaha dakwah bagi mengembalikan mereka kepada jalan kebenaran, adalah penting bagi kerajaan agar bersifat tegas dan berhati-hati dalam berhadapan dengan gerakan mempromosikan LGBT. Sewajarnya sebarang kenyataan awam perlu dimatangkan melalui pertemuan dan perbincangan yang tuntas daripada semua pihak termasuk golongan alim ulama’, ahli-ahli akademik, wakil NGO atau aktivis yang sudah biasa menyantuni golongan LGBT di lapangan serta doktor perubatan daripada kepakaran yang berkaitan.

5. Kami ingin mengajak seluruh rakyat menyatakan kebimbangan kita melihat perkembangan suasana terkini melalui e-petisyen di pautan ini: https://www.gopetition.com/petitions/solidariti-menentang-pengiktirafan-lgbt.html

6. Kerajaan di bawah pentadbiran PH perlu diberikan peringatan agar bersifat tegas dalam berhadapan dengan gerakan pro LGBT. Sebarang usaha mengiktiraf amalan LGBT ini akan merosakkan gaya hidup masyarakat, fitrah manusia dan mengundang kemurkaan Allah.

#tolakgerakanLGBT
#dekatibukaniktiraf

"Mara Menuju Cita"

YB Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo