NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Fazley, isteri sanding semula November depan


MEMILIH November sebagai tarikh persandingan semulanya bersama isteri, Fazley sebolehnya mahu majlis tersebut berjalan secara sederhana.

CEF selebriti dan penyanyi Datuk Fazley Yaakob akan menunaikan janjinya untuk bersanding semula bersama isteri, Datin Azrene Soraya Abdul Aziz dalam sebuah majlis persandingan yang dijangka diadakan pada November depan. 

Sebelum ini, Fazley, 40, pernah menyuarakan hasrat untuk kembali bersanding kerana mahu meraikan rakan-rakan yang tidak dapat hadir pada hari perkahwinan mereka 12 tahun lalu.

"Niat itu memang sudah lama ada dan ramai sedia maklum dengan hasrat saya ini. Insya-Allah majlis akan diadakan pada November depan sebab tarikh perkahwinan kami pun berlangsung pada bulan sama.

"Cuma setakat ini perancangan secara fizikal belum bermula. Secara jujur, saya mahukan sebuah majlis yang sederhana sahaja kerana niatnya cuma satu iaitu untuk meraikan keluarga, anak-anak dan rakan media yang tidak dapat hadir 12 tahun lalu," katanya.


Jelas Fazley, niat untuk mengadakan persandingan kali kedua didorong oleh janjinya terhadap beberapa teman media yang tidak dapat hadir atas beberapa halangan pada waktu tersebut.

Janji
Meskipun undangan telah dihantar kepada lebih 100 kenalan media, namun Fazley menyatakan perasaan terkilannya kerana hanya lapan orang yang dapat hadir hari tersebut.

"Ada antara mereka yang tidak dapat hadir kerana kekangan kerja pada waktu itu selain isu politik. Saya masih ingat, ada beberapa rakan media yang berkata, kalau sampai waktunya mereka mahu melihat saya bersanding semula.

"Malah, ia juga merupakan hasrat arwah bapa, Datuk Yaakob Mohammad yang mahu kami bersanding semula secara sederhana. Jadi, inilah janji saya kepada ramai orang termasuk arwah ayah," katanya yang mahu mengadakan majlis itu dengan konsep tradisional moden atau Bollywood.

Nusantara
Fazley atau nama lengkapnya, Ahmad Fadzli Yaakob dan Azrene mendirikan rumah tangga pada 7 November 2007. Perkahwinan mereka dikurniakan empat orang anak iaitu Ahmad Fariedz Shah, 9, Ahmad Fieradz Shah, 8, Ahmad Firudz Shah, 6 dan Alayna Selma yang kini berusia tujuh bulan.

Fazley berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran Restoran Mamanda Kuala Lumpur di TPC Kuala Lumpur, Bukit Kiara baru-baru ini.

Mengulas lanjut mengenai pembukaan restoran tersebut, kata Fazley, ia sebenarnya sudah dibuka kepada umum sejak setahun lalu dengan menyajikan pelbagai hidangan makanan Melayu Nusantara pada harga yang berpatutan.

"Sebenarnya ia sudah beroperasi setahun lalu, cuma baru sekarang dirasmikan kerana sebelum ini kami masih dalam proses menentukan menu terbaik selain mahu menggunakan bahan yang sama di Restoran Mamanda Singapura.

"Uniknya, konsep restoran ini menyajikan makanan Nusantara termasuk Indonesia dan Singapura, bukan Melayu semata-mata. Menariknya cara hidangan menu itu juga dibuat ala-ala istana iaitu di atas dulang untuk dimakan beramai-ramai," ujarnya yang mahu memperkenalkan makanan tradisi Nusantara ke mata dunia.

Selain menghidangkan menu Nusantara, Mamanda Kuala Lumpur turut menawarkan pakej majlis perkahwinan, pertunangan atau penganjuran sebarang majlis termasuk sidang akhbar.


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo