NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

DAP Tetap tuntut milik tanah 999 tahun

Seperti tawaran Pakatan Harapan Perak dalam PRU-14 – Kor Ming

IPOH 18 Ogos - DAP tetap mahu kerajaan negeri menunaikan janji untuk memberikan status hak milik 999 tahun atau hak milik kekal kepada tanah kampung baru seperti yang terkandung dalam tawaran Pakatan Harapan (PH) Perak untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming berkata, hal ehwal tanah adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan bukannya tertakluk kepada Majlis Tanah Negara (MTN) yang hanya berperanan memberi nasihat.

Sehubungan itu, tambah beliau, kenyataan yang mengatakan pemberian tanah hak milik kekal bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan adalah salah sama sekali.

"Tidak ada tekanan, perkara itu ada dalam manifesto dan seperti yang dikatakan Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu, Pakatan Harapan (PH) komited untuk melaksanakan semua janji-janji itu.

"Bak kata pepatah, lembu berpegang pada tali, manusia berpegang pada janji. Justeru, kita akan laksanakan, cuma ianya memerlukan masa dan bukan sekelip mata. Kita tak ada 'lampu Aladdin' untuk buat sesuka hati," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan majlis jualan amal melibatkan penyertaan lima sekolah rendah dan menengah Cina di kawasan Teluk Intan di Sekolah Menengah (SM) Persendirian San Min di sini, hari ini.

Ahmad Faizal dalam ucapan penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini berkata, kerajaan negeri tidak boleh memberikan status hak milik 999 tahun atau hak milik kekal kepada tanah kampung baru kerana ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Kor Ming memberitahu, hak milik 999 tahun itu juga bukan isu kerana pihaknya akan memberikan hak milik kekal itu kepada semua bangsa melibatkan kampung tersusun, penempatan kaum India dan kampung baru.

"Jangan salah faham, ini bukan tanah baharu. Ia adalah lot kediaman yang didiami oleh penduduk sebelum kemerdekaan sejak tahun 1948 waktu darurat, sudah wujud kampung baru.

"Itu rumah mereka, takkan kita hendak rampas rumah rakyat? Cuma saya beri hak milik. Hak milik memang ada, cuma dilanjutkan tempoh pajakan maka tak jadi isu," katanya.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo