Bantah SUHAKAM campur keputusan Mahkamah Syariah


Menyahut seruan firman Allah di dalam Surah Al-Maidah ayat 8 yang bermaksud, “Hai orang-orang yang beriman hendaklah kamu menjadi golongan yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah”, Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir (KPT) menyatakan sokongan penuh terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu yang menjatuhkan hukuman enam sebatan serta denda berjumlah RM 3,300 Ahad lalu, ke atas dua orang wanita yang didakwa cuba melakukan hubungan sejenis di Dungun. 

Keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu ke atas dua wanita tersebut yang mengaku bersalah adalah tepat, kerana kesalahan yang dilakukan sangat bertentangan dengan norma kemanusiaan dan fitrah ciptaan Allah serta merupakan suatu perbuatan yang terkutuk. Allah berfirman di dalam Surah Al-Araf ayat 80-84 yang bermaksud, 

“Dan Nabi Luth (juga kami utuskan), Ingatlah tatkala dia berkata kepada kaumnya, “Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorangpun penduduk alam ini sebelum kamu?”. Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu, dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas. Dan tiada jawapan oleh kaumnya melainkan mereka berkata,”Usirlah mereka (Nabi Luth dan pengikutnya yang taat) dari Bandar kamu ini, sesungguhnya mereka adalah orang-orang (yang mendakwa) mensucikan diri. Maka kami selamatkan dia dan ahlinya (keluarga dan pengikutnya) melainkan isterinya, adalah dia tergolong dalam orang-orang yang dibinasakan. Dan kami telah menghujani mereka dengan hujan (batu yang membinasakan). Oleh itu, lihatlah bagaimana akibat orang-orang yang melakukan kesalahan.”

Keputusan mahkamah tersebut dilihat wajar bagi memberikan pengajaran kepada pelaku. Di dalam Islam, sesuatu hukuman tidak dikenakan melainkan sebagai suatu pendidikan kepada si pelaku dan masyarakat. Sesuatu hukuman juga dikenakan bertujuan untuk mencegah keburukan sebelum berlaku. Hukuman-hukuman ini sebagai alternatif kepada jiwa-jiwa manusia yang tidak boleh ditundukkan dengan peringatan-peringatan dan amaran. Firman Allah dalam Surah Al-Maidah ayat 33 yang bermaksud:

“Sesungguhnya pembalasan terhadap orang-orang yang memerangi Allah dan RasulNya dan membuat kerosakan di bumi, hanyalah mereka dibunuh dan disalib atau dipotong tangan dan kaki mereka dengan bertimbal balik ( tangan kanan kaki kiri atau kaki kanan tangan kiri), yang demikian itu (sebagai) suatu penghinaan untuk mereka di dunia, dan di akhirat mereka beroleh seksaan yang besar.” 

Di samping itu, melihat kepada kemandulan sosial yang berlaku dalam masyarakat kini, KPT menyatakan kebersamaan dalam menyokong Pindaan Rang Undang-undang 355 (RUU 355) yang bertujuan menaiktaraf bidang kuasa Mahkamah Syariah. Perkara ini dilihat sangat signifikan dalam memastikan keharmonian dan kestabilan masyarakat itu sendiri, memberi pengajaran kepada pelaku dan peringatan kepada yang lain supaya tidak cuba melakukan perkara yang sama.

Walaupun sedikit sahaja aspek yang terkesan dengan pindaan, implikasinya ke atas kuasa negeri berkenaan kesalahan Syariah adalah sangat besar. Halangan bidang kuasa di dalam Akta 355 ini merupakan cabaran besar dalam memperkasa hukuman bagi kesalahan-kesalahan Syariah, sekiranya mahu menambah jumlah dan tahap hukuman kepada kesalahan tersebut. Hal ini berikutan, tidak semua hukuman syariah berada di bawah paras hukuman penjara tidak melebihi 3 tahun, denda tidak melebihi RM 5,000 dan sebatan tidak melebihi enam kali atau apa-apa gabungan hukuman tersebut. Justeru akta ini perlu dipinda supaya relevan dengan tuntutan syarak.

Untuk akhirnya, kita perlu kembali kepada Islam dalam menyelesaikan segala permasalahan yang berlaku hari ini. Kita juga perlu meyakini bahawa Islam adalah solusi kepada permasalahan ummah sejagat. Firman Allah yang bermaksud:

“Kebenaran adalah datangnya daripada tuhanmu, Oleh itu, jangan sekali-kali engkau termasuk dalam golongan yang meragui”. (Al- Baqarah : 147)


Disediakan Oleh,

Anas bin Roslan
Timbalan Yang Dipertua
Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu Mesir.
Graduan Universiti Al-Azhar, Kaherah.



Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget