NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Akta 355: PAS minta jaminan Mujahid



KUALA LUMPUR: Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS-Sik) meminta penjelasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri bahagian Hal Ehwal Islam Dato' Dr Mujahid Yusof Rawa berhubung pengukuhan Indeks Syariah Malaysia (ISM) sama ada pindaan Akta 355 akan diteruskan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) atau kekal seperti hari ini.

Mengulas pandangan berbeza kerajaan hari ini, Mujahid mengulas maksud syariah adalah melampaui skop yang luas bukan hanya tertakluk kepada aspek Mahkamah Syariah semata-mata dengan menekankan tiga teras utama gagasan yang dibawa kerajaan hari ini.

Pertama pengharmonian antara undang-undang syariah dan sivil yang mana ulas Mujahid bila berbicara tentang mahkamah syariah akan berlaku perkara yang berkonflik dan perkara tersebut perlu diharmonikan.

Kedua, melibatkan kompetensi hakim dan pendakwa syarie yang hingga hari ini belum mencapai tahap yang sesuai dan perlu banyak peningkatan.

Teras ketiga pula, Mujahid menekankan aspek tadbir urus dan prasarana Mahkamah Syariah juga penting bagi menampung satu peningkatan hukuman drastik.

Dato' Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bharu) yang menjadi kepada penyokong usul Akta 355 bangkit mencelah mengingatkan Mujahid bersama rakan-rakan parlimennya pernah menjadi pembangkang sering menekankan bahawa pindaan Akta 355 bukan tanggungjawab ahli parlimen mengusulkan tetapi di pihak kerajaan.

"Jadi saya nak dapatkan jaminan daripada YB sebagai kerajaan, adakah YB berhasrat untuk teruskan meneliti pemerkasaan akta ini. Yang keduanya, kalau kita perhatikan tadi YB sebut bahawa bukan hanya Akta 355 sahaja yang perlu dipinda dan diperkasakan dan sebagainya sebalik ada aspek-aspek lain, saya amat bersetuju dalam perkara itu.

"Tapi saya kira YB boleh bersetuju dengan saya bahawa pindaan kepada Akta 355 ini juga adalah satu yang perlu ke arah kita perkasakan institusi Mahkamah Syariah yang mana mahkamah ini dijamin atau diletak di bawah perlembagaan jadual ke-9 senarai dua yang tidak melibatkan orang bukan Islam, tidak ada kaitan langsung dengan bukan Islam dan tidak dilaksanakan kepada bukan Islam," tegas Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung PAS.

Dalam sesi penggulungan Titah Diraja Yang di-Pertuan Agong petang ini, Mujahid menjawab celahan Takiyuddin dengan memberi jaminan bahawa kerajaan akan menerapkan isu pemerkasaan Mahkamah Syariah secara lebih holistik.

"Yang disebut oleh Kota Bharu dikatakan kerajaan perlu ambil waktu itu ialah sewaktu berada di sebelah sana sebab kami menganggap bahawa isu RUU 355 ini jika dikendalikan dengan lebih teratur sebab kita ada jawatankuasa road map yang telah ditubuhkan antara kerajaan negeri Kelantan dengan pusat waktu itu di bawah BN.

"Saya kira landasan itu sudah jelas menunjukkan bagaimana kita harus tangani isu ini, tetapi tiba-tiba muncul Rang Undang-undang persendirian yang lari daripada road map yang telah kita bincang dulu. Sebab itu kami merasakan elok kalau betul serius perkara ini hendak dilaksanakan maka hendaklah diserahkan kepada kerajaan untuk dibuat lebih tertib dan teratur.

"Dan sekarang kami telah jadi kerajaan dengan sokongan rakyat, maka kami akan cuba terapkan dan kami lebih melihat isu pemerkasaan Mahkamah Syariah ini dengan cara yang lebih holistik, insha Allah," katanya. – HARAKAHDAILY 6/8/2018

Sumber: http://www.harakahdaily.net.my/index.php/berita/7685-akta-355-pas-minta-jaminan-mujahid

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo