NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

102 institusi akan dipanggil - Ahmad Sarji


Oleh Mohd Iskandar Ibrahim
mohd_iskandar@nstp.com.my

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Tertinggi Institusi Hal Ehwal Islam Peringkat Persekutuan akan memanggil 102 institusi bagi mendapatkan maklum balas ke arah menambah baik institusi Islam peringkat Persekutuan di negara ini.

Pengerusinya, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, berkata institusi itu membabitkan lima kluster iaitu agensi berkaitan Islam, kewangan dan ekonomi, pendidikan, syariah dan perundangan, pertubuhan politik serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Katanya, proses pengumpulan maklumat turut membabitkan pihak berkepentingan lain dalam kalangan ahli akademik, wakil pertubuhan, wartawan dan orang awam.

“Setiausaha jawatankuasa akan menghantar surat undangan rasmi kepada mereka yang tersenarai dalam tempoh terdekat. Mereka diminta menghantar dua wakil untuk bermesyuarat dengan jawatankuasa ini.

“Selain pembentangan secara bersemuka, jawatankuasa turut mengalu-alukan sebarang memorandum secara bertulis daripada orang awam yang boleh dikemukakan kepada Setiausaha jawatankuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pertama jawatankuasa itu di Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja di sini, hari ini.

Ahmad Sarji berkata, antara fungsi jawatankuasa ini ialah untuk mewujudkan keharmonian antara pelbagai kaum dan agama.

“Kami juga akan memanggil institusi atau majlis dari agama lain untuk diberi peluang menyampaikan memorandum atau memberi pandangan di hadapan jawatankuasa,” katanya.

Beliau berkata, jawatankuasa itu akan bersidang selama tiga hari seminggu dalam tempoh lima bulan secara tertutup di Istana Negara lama dengan laporan akhir akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, awal Januari tahun depan.

“Saya ingin menegaskan bahawa setiap laporan, maklum balas, maklumat, memorandum dan pandangan yang diterima jawatankuasa ini diklasifikasikan sebagai rahsia,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Sarji bersama enam lagi ahli jawatankuasa berkenaan menerima watikah pelantikan yang disampaikan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad.

Selain Ahmad Sarji sebagai pengerusi, ahli jawatankuasa lain yang menerima watikah itu ialah timbalannya, Datuk Dr Afifi al-Akiti, Prof Emeritus Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan, Datuk Nooh Gadut dan Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz.

Dua lagi ahli tambahan yang menerima watikah pelantikan ialah Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Datuk Aidi Mokhtar dan Menteri Muda Elektrik Luar Bandar Sarawak, Dr Abdul Rahman Junaidi.

Syed Danial turut dilantik sebagai setiausaha jawatankuasa itu, menjadikan jumlah keanggotaan seramai lapan orang.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo