NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Wajib Segera Jawab Tuduhan Kronisme Tun Mahathir-Daim



Oleh: Abdul Muein Abadi

1. Seluruh rakyat Malaysia tertanya-tanya kenapa Tun Mahathir menghantar Tun Daim Zainuddin ke China? Kenapa bukan YB Lim Guan Eng? Jika benar tujuannya untuk merundingkan kos projek gergasi dengan China, kenapa tidak hantar Menteri Kewangan? Lebih pelik ialah kenapa Tun Daim hanya menjawab terus kepada Perdana Menteri dan hanya kemudian sahaja kabinet akan diberi taklimat oleh Tun Mahathir?

2. Paling menimbulkan persoalan ialah di bawah Malaysia Baharu yang sepatutnya telus, kenapa rakyat tidak diberi sebarang perincian langsung tentang rancangan kerajaan dalam lawatan Tun Daim ini ke China? Apa beza kerajaan sekarang dengan BN dahulu pada 2016 yang pergi ke China dan tiba-tiba mengumumkan MoU RM140 bilion?

3. Berapa kos yang hendak dikurangkan? Berapa sebenarnya kos projek gergasi China di Malaysia? Apa kandungan surat Tun Mahathir kepada China yang dikirim Tun Daim? Akibatnya ada yang berspekulasi: Adakah surat itu tentang desakan agar projek gergasi China di Malaysia memberi pegangan dan kepentingan kepada syarikat-syarikat milik individu tertentu di Malaysia?

4. Kenyataan Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah bahawa amalan mengirimkan utusan khas adalah biasa, maka mengapa tidak manfaatkan Duta kita di China sahaja untuk tugas sedemikian? Bukankah membazir duit rakyat mengirim seorang individu lain yang tidak menjawab di Parlimen untuk ke sana? Kenapa Tun Daim tidak ke China sewaktu lawatan rasmi Tun Mahathir ke sana sahaja pada Ogos nanti? Kenapa perlu beliau ke China bersendirian tanpa Menteri Luar mahu pun Menteri Kewangan?

5. Belum sempat minda rakyat reda dengan persoalan-persoalan di atas, tiba-tiba dua peristiwa besar berlaku: Jho Low dilaporkan Sarawak Report (yang memetik sumber Hong Kong) telah ditangkap di China; kemudian pada hari yang sama – betul-betul sebelum Tun Daim mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar China, Wang Yi – SPRM telah bertindak menyerbu dua syarikat milik China yang terlibat dengan Landasan Berkembar Pantai Timur (ECRL) serta Saluran Paip Pelbagai Produk Petroleum (MPP) dan Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP).

6. Maka akibat sikap kerajaan yang tidak memberikan jawapan penuh dan telus tentang keseluruhan lawatan Tun Daim ini, timbullah pelbagai teori yang menghubungkan kesemua persoalan di atas. Teori yang paling kontroversi – sekali gus yang paling menarik perhatian – ialah teori yang dikemukakan oleh laman The Third Force (TTF) yang dilaporkan oleh laman Malaysia Today (Raja Petra Kamarudin RPK).

7. Seperti biasa, laman tersebut menimbulkan persoalan mengenai individu yang terlibat dalam sesuatu situasi beserta dengan kepentingan yang mungkin diusahakan individu tersebut. Laman itu mengajukan andaian tentang hubungkait Tun Daim (bagi pihak Tun Mahathir) dengan syarikat-syarikat tertentu seperti institusi kewangan perbankan yang dikuasai beliau di Afrika, dan juga syarikat Gamuda. Selain Tun Daim, nama-nama tokoh yang terkenal rapat dengan Tun Mahathir seperti Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, Tan Sri Vincent Tan, Tan Sri Robert Kuok, Tan Sri Mokhzani serta Mirzan Mahathir turut dispekulasikan.

8. Hakikatnya hubungan kesemua tokoh di atas dengan Tun Mahathir telah lama didedahkan oleh seorang lagi ahli Majlis Penasihat Kerajaan, Dr. Jomo Kwame Sundaram dalam kajian akademik beliau (bersama Prof. Edmund Gomez) yang diterbitkan Cambridge University Press dengan tajuk ‘Malaysia’s Political Economy: Politics, Patronage, and Profits’.

9. Secara khusus, Tun Daim dikatakan bergerak di China dengan tiga sasaran: projek ECRL, projek minyak dan gas, serta Jho Low. Dalam projek ECRL, seperti diketahui umum bahawa ia dibiaya sebahagian besarnya oleh bank China iaitu Export-Import Bank (EXIM). Di sinilah nama Tan Sri Robert Kuok ditimbulkan sebagai pemilik 13 peratus saham CITIC Limited, iaitu firma pelaburan yang dikuasai China juga. Maka Tun Daim dikatakan cuba untuk membahagikan pembiayaan ECRL daripada EXIM sahaja kepada bank yang beliau kuasai semasa era Tun Mahathir dahulu di Afrika Selatan, dengan pengaruh Tan Sri Robert Kuok dalam kerajaan China.

10. Bahkan sumber dalaman akhbar perniagaan terkemuka, The Edge Market mengakui hal ini dengan mengatakan bahawa “a source noted Daim may utilise fellow CEP member Robert Kuok's connections in China to smoothen the process”. Di sinilah – dakwa TTF – yang mengakibatkan kerajaan Pakatan tiba-tiba mengumumkan kos ECRL melonjak dari RM55 bilion menjadi RM81 bilion: iaitu akibat campur tangan Tun Mahathir melalui Daim untuk kepentingan kelompok tertentu.

11. Berkenaan isu projek minyak dan gas pula, laman The Third Force berspekulasi dengan dua tindakan Tun Mahathir: pertama ialah pengumuman untuk membina pulau di Batuan Tengah selepas menarik diri daripada kes Pulau Batu Puteh; kedua ialah penamatan projek kereta api laju HSR. Pengumuman membina pulau di Batuan Tengah memberi isyarat bahawa Tun Mahathir ingin untuk menguasai hak eksklusif penerokaan minyak dan gas di penjuru Laut China Selatan itu.

12. Pengumuman semakan semula projek HSR pula dikatakan mengakibatkan kejatuhan saham Gamuda (37.6%) lalu sebahagiannya dapat dikuasai ‘proksi’ Tun Daim dan Tan Sri Vincent Tan. Gamuda pula memiliki rakan kerjasama iaitu MMC Corp yang 51.8 peratus dikuasai oleh Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary. Syarikat khusus dalam sektor minyak dan gas, iaitu Melati Pertiwi Sdn Bhd turut dimiliki oleh Syed Mokhtar Al-Bukhary.

13. Maka, dikatakan bahawa Tun Mahathir ingin merundingkan projek penerokaan Laut China Selatan (termasuk kawasan Batuan Tengah di atas Pulau Batu Puteh Singapura) bersama China dengan turut melibatkan Melati Pertiwi milik Tan Sri Syed Mokhtar – rakan kerjasama Gamuda, di samping penglibatan anak lelaki beliau iaitu Tan Sri Mokhzani yang pernah menguasai Sapura Kencana dan Mirzan Mahathir yang masih menguasai kepentingan dalam Petron. Tan Sri Vincent Tan sebelum ini turut menguasai syarikat T7 Global yang bukan sahaja terlibat dengan ECRL, bahkan juga bergiat dalam aktiviti minyak dan gas.

14. Serbuan SPRM ke atas syarikat milik China pula sukar untuk dikatakan sebagai tidak dirancang dari segi masanya (timing). Pasti ada sebab ia dilakukan pada hari sama Tun Daim akan bertemu dengan Menteri Luar China. Hal yang sama boleh dilihat dengan pendedahan surat entiti penyelidikan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di bawah BN kepada CIA menjelang PRU-14 tempoh hari. Surat tersebut didedahkan ketika Tun Daim berada di China, menunjukkan bahawa isyarat sedang diberi kepada Beijing. Demikian juga dengan serbuan SPRM, yang boleh dianggap sebagai isyarat keras kepada China agar menerima segala tuntutan yang dibuat oleh Tun Mahathir melalui Tun Daim.

15. Jho Low turut dikatakan menjadi sasaran utama kunjungan Tun Daim. Sarawak Report yang banyak membantu mendedahkan skandal 1MDB juga melaporkan bahawa Jho Low telah ditahan di China. Setakat ini kerajaan PH mahu pun pihak berkuasa negara hanya mengatakan tiada pengesahan tentang penahanan tersebut. Maka spekulasi bertiup lagi dengan laman TTF mengatakan bahawa Tun Daim cuba berunding dengan Jho Low di China agar beliau berpihak kepada kerajaan PH dengan menjadi saksi kerajaan bagi mendakwa Datuk Seri Najib.

16. Bakal Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sering memberi amaran tentang Tun Daim dan kapitalisme kroni. Pesan Anwar pada 2016 dari penjara: "Dr Mahathir dan Daim merupakan merupakan perancang dan penyebab kapitalisme kroni bertambah parah".

17. Terbaru, Datuk Seri Anwar memberi amaran selepas beliau bebas dari penjara pada Mei 2018: "Daim boleh menyumbang tapi dia perlu berhati-hati. Orang hargai dia ikut serta, tapi orang juga menyatakan kegelisahan yang mendalam bahawa dia tidak menjelaskan beberapa masalah besar di masa lalu”.

18. Saat ini Datuk Seri Anwar Ibrahim baru selesai pembedahan di Turki. Maka seharusnya suara-suara Reformasi dalam PKR mahu pun Pakatan tidak mengharapkan beliau untuk mempersoalkan ketelusan urusan Tun Daim ke China kini. Jika dahulu Rafizi Ramli – diiringi Datuk Saifuddin Abdullah, Wong Chen dan G Manivannan – berani melaporkan ‘rasuah minta perempuan untuk projek’ kerajaan Selangor pimpinan Azmin Ali kepada SPRM (https://www.malaysiakini.com/news/343460) maka hari ini mereka seharusnya lebih berani mempersoalkan lagi.

19. Bagi pihak kerajaan Pakatan pula, selagi mana mereka tidak menampilkan hujahan balas yang terperinci, dengan data yang telus, serta tanpa penerangan yang sejelas-jelasnya tentang kesemua isu ini, maka spekulasi akan terus bertiup – dan dalam era Malaysia Baharu ini, spekulasi memang akan sentiasa bertiup kencang.

Rujuk:

i. Gomez, E. T., & Jomo, K. S. (1999). Malaysia's political economy: Politics, patronage and profits. Cambridge University Press.
ii. “Anwar: Daim boleh sumbang, tapi hati-hati skandal dulu”: https://www.malaysiakini.com/news/425334
iii. “How Daim’s China trip has to do with Mahathir’s sons”: https://www.thethirdforce.net/how-daims-china-trip-has-to-…/
iv. “Petron, Mirzan, Mokhzani and Mahathir – The richest oil barons in Southeast Asia”: https://www.thethirdforce.net/petron-mirzan-mokhzani-and-m…/
v. “Daim to visit China to renegotiate ECRL, SSER projects”, https://www.malaysiakini.com/news/432939


Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
( Hide )
  1. Mokhzani dah lepaskan pegangan dalam Sapura Kencana namun pada Jun 8hb beliau telah membeli 10% saham SCOMI (ada anak syarikat oil n gas juga) melalui Private Placement

    ReplyDelete

© all rights reserved
made with by templateszoo