NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Usah dilayan desakan iktiraf UEC - PENA




KUALA LUMPUR, 25 Syawal 1439H, Isnin – Sebarang desakan yang mahu Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) diiktiraf sebagai syarat memasuki perkhidmatan dan universiti awam tidak perlu dilayan.

Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Dr Mohamad Saleeh Rahamad berkata, bahasa Melayu perlu terus dipertahankan dan sijil peperiksaan sedia ada mesti kekal sebagai syarat memasuki perkhidmatan dan universiti awam.

"Taraf subjek Bahasa Melayu dalam UEC sangat rendah berbanding Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), manakala subjek lain pula diajarkan dalam bahasa Cina.

"Bayangkan jika UEC yang dikeluarkan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) mengikut sukatan pelajaran dari Taiwan diluluskan, kelak tidak mustahil akan timbul tuntutan kaum lain untuk sijil daripada sekolah vernakular mereka diterima.

"Apa akan jadi jika nanti berkembang pula Sekolah Menengah Persendirian Tamil, Iban dan Punjabi bagi mengangkat agenda kaum masing-masing hingga akhirnya negara bangsa diimpikan Malaysia hancur," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Terdahulu, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nee Ching menyatakan mahu memastikan UEC diterima menjelang hujung tahun.

Mengulas lanjut, Mohamad Saleeh berkata, walaupun manifesto Pakatan Harapan (PH) ada menyebut mengenai pengiktirafan terhadap UEC, ia tidak bermaksud perlu dilaksanakan terutamanya jika membawa mudarat lebih besar.

"Jangan sampai ketegangan antara kaum berulang. Negara bangsa memerlukan satu nilai sepunya yang didaulatkan, justeru bina negara yang harmoni dan rakyatnya bersikap patriotik serta nasionalistik.

"UEC nampaknya bukan hanya diperjuangkan DAP, malah MCA dan GERAKAN juga turut membawa isu ini melalui suara Dong Zhong.

"Parti politik sudah memperjudikan nasib sistem pendidikan demi undi. Adakah mereka mencari kuasa atau kedaulatan negara," katanya.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo