NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Umno: Pindah Ibu Pejabat  Jimatkan Kos


UMNO perlu mengkaji cara mengurangkan kos pengurusan parti, termasuk mempertimbang cadangan memindahkan ibu pejabat dari Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan yang bertanding jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan parti kali ini, berkata kos ditanggung terlalu tinggi dan UMNO berkemungkinan tidak mampu meneruskannya dalam keadaan sekarang.

"Kita perlu mengkaji sama ada perlu ibu pejabat (UMNO) di PWTC atau boleh pindahkan ke tempat lain yang kosnya lebih sederhana. Kita perlu menerima hakikat (parti) sudah kalah dan tidak boleh terus dengan cara lama.

"Keutamaan UMNO ialah memastikan kos pengurusan tidak besar. Tidak perlu kelihatan gah dan glamor tetapi penuh dengan masalah pada peringkat akar umbi.

"Dunia sedang berubah dengan cukup pantas. Jika kita masih dalam suasana lama, maka kita akan ditinggalkan dan tidak lagi relevan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Rembau, di Seremban, Sabtu.

Sementara itu, mengulas mengenai pembekuan akaun UMNO berikutan siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pula, Mohamad berkata, kepemimpinan baharu parti perlu berunding dengan pihak berkuasa terbabit supaya peruntukan bagi pembayaran gaji kakitangan boleh diberi pengecualian.

Bagaimanapun, beliau berkata, akaun UMNO Negeri Sembilan tidak dibekukan kerana tiada menerima peruntukan khas yang besar daripada Presiden parti sebelum ini.

"Kita tidak mendapat peruntukan berkenaan. Saya ada minta tetapi tidak dapat. Hangat juga hati ketika itu tetapi syukur tidak dapat, ada hikmahnya," katanya.

Justeru, Mohamad berkata, kepemimpinan baharu UMNO perlu memberi tumpuan terhadap ketelusan akaun dan aset parti selepas ini, sekali gus tidak lagi menjadi rahsia yang hanya diketahui beberapa pemimpin tertinggi seperti dahulu. - Wartawan Watan-Online

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo