UMNO tetapkan hala tuju sebagai pembangkang?


KITA labuhkan tirai kisah sedih UMNO dalam Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu. Kisahnya terlalu perit untuk didengar apatah lagi untuk sejarah hitam itu di ulangtayang semula. Bagai menyaksikan rakaman CCTV sebuah insiden yang meragut nyawa insan tercinta kita. Mampukah kita melihatnya berulang kali? Pastinya tidak.

Kini, episod persoalan siapakah yang akan memacu UMNO baharu juga sudah terjawab. Akar umbi UMNO telah membuat pilihan dengan memilih Presiden baharu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Walaupun terdapat suara-suara sumbang dalam tempoh terdekat ini, namun keputusan telah dibuat.

Sebagai salah seorang rakyat Malaysia, saya antara yang menantikan pelan pembangunan lebih baik daripada kerajaan baharu hari ini.

Begitu juga sebagai salah seorang penyokong tegar UMNO yang turut berada dalam sistem pentadbiran UMNO, saya juga mahu melihat UMNO dipandu dalam satu landasan yang lebih kukuh dan bersepadu demi melangsungkan perjuangan parti kesayangan kita ini.

Kini, Dewan Rakyat telah mula bersidang dan ini adalah persidangan pertama dalam sejarah Malaysia - menyaksikan kepimpinan Barisan Nasional berada di barisan kerusi pembangkang, bukan lagi kerajaan.

Dalam beberapa hari pertama persidangan ini, rakyat dihidangkan dengan pelbagai isu dan kontroversi. Daripada hal pelantikan Speaker Dewan Rakyat, kepada isu kelulusan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) oleh Kementerian Pendidikan dan terkini membabitkan isu paling sensitif bagi rakyat Malaysia iaitu perdebatan mengenai SST dan GST.

Rakyat memerhati dengan serius apa yang berlaku di Dewan Rakyat terutama membabitkan cara Kerajaan Baharu melaksanakan tugas, bagaimana Barisan Nasional bertindak sebagai pembangkang dan paling penting proses perdebatan dalam kalangan ahli Parlimen. Ini antara topik perbualan paling hangat dalam kalangan rakyat sekarang.

Persembahan setiap ahli Parlimen menyuarakan pendapat dan berdebat juga menjadi perhatian. Daripada yang penuh hemah dan penuh adab serta sopan santun, sehingga kepada mereka yang menjerit, terpekik terlolong dalam menegakkan poin perbahasan yang sedang dibincangkan.

Jika melihat dari perspektif yang berbeza, kedua-dua pihak bahagian - baik kerajaan, mahupun pembangkang - masih kelihatan kekok untuk menjalankan tugas masing-masing. 

Pembangkang masih baharu dan kerajaan pula masih hijau. Ini adalah kesimpulan yang boleh dibuat masa ini.

Saya tidak mahu mengambil kira bagaimana atau berapa lamakah kerajaan hari ini perlu mengambil masa untuk melatih diri agar menzahirkan kepimpinan sebagai sebuah parti kerajaan yang lebih baik pada masa akan datang.

Tetapi apa yang saya ingin lihat adalah bagaimana UMNO sebagai pembangkang mahu menyesuaikan diri dengan laungan untuk menjadi pembangkang yang berwibawa itu mampu direalisasikan.

Kedua–dua pihak perlu memainkan peranan lebih baik. PRU sudah berlalu hampir tiga bulan. Masih banyak perkara yang perlu dilihat dan diperhalusi dengan lebih mendalam.

Rakyat kini menilai taraf kepimpinan kedua-dua pihak. Apa yang penting bagi rakyat ialah memastikan kelangsungan Kerajaan Baharu yang perlu membuktikan mereka mampu untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang lebih maju dan berdaya saing.

Wahai Ahli Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Undangan Negeri,

Sejujurnya, anda semua perlu menyingkap dengan lebih mendalam dan lebih tertumpu kepada isu yang ingin dibahaskan. Rakyat bukan mahu melihat siapa yang mampu menghentam siapa di dalam Dewan. Rakyat bukan mahu melihat parti politik mana yang paling bersih atau tidak mengamalkan politik korup.

Tetapi rakyat mahu melihat hujah Ahli Dewan yang paling gemilang untuk memastikan taraf kehidupan dan pembangunan yang dirancang adalah seiring. Jangan hanya berlumba-lumba membina bangunan mencakar langit, sedangkan rakyat hidup bagaikan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.


PENULIS ialah Ahli Majlis Tertinggi UMNO

© Utusan Melayu (M) Bhd
Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget