NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Umno: Mantan MB, KM tewas di bahagian

KUALA LUMPUR: Pemilihan UMNO bagi penggal 2018-2021, hari ini, mencatatkan kejutan apabila dua Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri yang juga bekas menteri besar dan ketua menteri, tewas di peringkat bahagian.

Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman gagal mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri itu memperoleh 424 undi, sekali gus tewas tipis kepada pencabarnya yang juga Naib Ketua UMNO bahagian itu, Apli Yusoff, yang memperoleh 465 undi.

Apli menang dengan majoriti 41 undi.

Bekas Ketua Menteri Melaka yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Idris Haron, gagal mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu.




Calon Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Idris Haron (tengah) mengadakan sidang media selepas mengundi pemilihan UMNO Bahagian Tangga Batu di Hotel Mahkota, Banda Hilir. - Foto Rasul Azli Samad

Idris yang memperoleh 151 undi tewas kepada Ahli Jawatankuasa (AJK) UMNO bahagian itu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad yang mendapat 353 undi.

Mohamad Ali menang dengan majoriti 202 undi.

Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Kangar selepas mengalahkan pencabarnya yang juga bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Azhar Ahmad.

Empat bekas menteri besar turut mempertahankan jawatan masing-masing di peringkat bahagian.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan menang jawatan Ketua UMNO Bahagian Rembau.
Ketua UMNO Bahagian Rembau, Datuk Seri Mohamad Hasan berucap pada sidang media sempena Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Rembau Tahun 2018 di Dewan Elegance Cattleya Senawang, Negeri Sembilan. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan yang turut bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO, menewaskan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chembong, Datuk Rais Zainuddin.

Bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang); bekas Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob (Ketua UMNO Bahagian Bentong) dan bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said (Ketua UMNO Bahagian Kemaman).

Sementara itu, enam bekas menteri dan seorang bekas timbalan menteri menang pada pemilihan di peringkat bahagian masing-masing.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim berjaya mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Arau, yang dipegang sejak tempoh 24 tahun lalu.

Empat lagi menang tanpa bertanding, iaitu bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed (Ketua UMNO Bahagian Jeli); bekas Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar (Ketua UMNO Bahagian Tanjong Karang).

Bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin (Timbalan Ketua Bahagian Rembau) dan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (Ketua UMNO Bahagian Putrajaya).

Bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin, pula menang jawatan Ketua UMNO Bahagian Larut setelah menewaskan pesaingnya, Nordin Hassan.

Bekas Timbalan Menteri Sains Teknologi Dan Inovasi, Datuk Wira Abu Bakar Mohd Diah mengekalkan jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu apabila menewaskan pencabarnya, Nor Azman Hassan.

Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim turut mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Baling selepas pencabarnya, Syamsuddinnor Shaari, menarik diri, semalam.

Ahli Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Padang Besar, manakala bekas EXCO Pemuda UMNO, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya menang tanpa bertanding jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kangar, selepas pencabarnya, Datuk Abdul Jamil Saad menarik diri.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo