NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

UMMAH tuntut kerajaan PH baiki kepincangan ancam kedaulatan



Oleh Athirah Huda Zalhe

KUALA LUMPUR, 15 Zulkaedah 1439H, Sabtu – Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), yang terdiri daripada lebih 300 NGO Islam menuntut kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) memperbaiki kepincangan yang sedang dan bakal berlaku sehingga mengancam kedaulatan negara serta hak orang Melayu dan Islam di Malaysia.

Ketua Sekretariat UMMAH, Aminuddin Yahaya menggesa supaya semua tindakan dan keputusan kerajaan bertunjangkan asas Perlembagaan demi menjaga perpaduan kaum dan memastikan hubungan agama kekal harmoni.

Beliau berkata, UMMAH juga menuntut keabsahan agama Islam sebagai agama negara dan hak keistimewaan orang Melayu tidak digugat kerana ia adalah jaminan dalam pembentukan Malaysia serta elemen tujuh wasiat Raja-Raja Melayu.

"Ini termasuk Tanah Rizab Melayu, bantuan pelajaran dan pekerjaan di sektor awam. Pengiktirafan UEC mesti ditolak kerana ia bukan sahaja bertentangan dengan Perlembagaan dan Dasar Pendidikan Negara, malah akan menyebabkan polarisasi kaum yang lebih ketara.

"Kementerian Pendidikan mesti tegas untuk tidak memberikan sebarang peruntukan kewangan kepada Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC), kerana ia tidak termasuk di bawah kurikulum dan sistem pendidikan kebangsaan, serta tiada asas di sisi Perlembagaan," katanya.

Beliau menegaskan, peruntukan berkenaan seharusnya dimanfaatkan untuk kegunaan yang lebih meluas kepada rakyat, dengan meneruskan program MyBrain dan sekolah-sekolah agama.

Katanya, UMMAH turut menuntut supaya semua urusan dan kenyataan rasmi pihak kerajaan mestilah menggunakan bahasa kebangsaan, termasuk mengambil langkah serius memperkasakannya selaras dengan Perkara 152 Perlembagaan.

"Gerakan atau mana-mana pertubuhan yang membawa agenda liberalisme, pluralisme dan humanisme berlandas pada nilai Barat dan ekstremisme agama mesti dikekang.

"Kebebasan bukan bererti tanpa had, tetapi sebaliknya mesti mengikut lunas-lunas agama dan budaya negara," katanya.

Beliau turut menggesa supaya tindakan diambil ke atas mana-mana pihak yang menghina dan memperlekehkan institusi Raja-Raja Melayu, dan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara.

"UMMAH menuntut kerajaan memberikan ruang kepada UMMAH untuk berbincang dan meneliti sebarang polisi dan akta baru yang hendak dikemukakan ke Parlimen seperti Akta Harmoni Nasional, Akta Kebencian Agama dan Kaum serta Akta Anti-Diskriminasi Kaum," katanya.

Tuntutan berkenaan jelas disuarakan beliau pada Himpunan Kebangkitan Ummah, Malaysia Baharu Pasca PRU14: Islam Melayu Terancam, di padang Kelab Sultan Sulaiman di sini, hari ini.

Himpunan yang disertai lebih 10,000 peserta itu turut dihadiri tokoh-tokoh NGO dan ahli politik negara termasuk Tan Sri Rais Yatim, Datuk Takiyudin Hasan, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, dan Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman.

Aminuddin berkata, himpunan yang dianjurkan hari ini adalah satu tanda kegusaran dalam kalangan umat Islam dan isyarat kepada rasa ketidakpuasan hati rakyat terhadap pentadbiran kerajaan.

"Kami tidak menolak kemungkinan bahawa akan ada siri-siri himpunan yang lebih besar di negeri-negeri jika tiada sebarang tindakan pembaikan daripada kerajaan," katanya.

Sumber; https://www.ismaweb.net/2018/07/28/ummah-tuntut-kerajaan-ph-baiki-kepincangan-ancam-kedaulatan/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo