UEC : Rosakkan Sistem Pendidikan Negara – GPMS


Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) berkeras menolak sijil UEC untuk diiktiraf masuk ke Universiti Awam dan sektor perjawatan awam.

Presiden GPMS, Zambri Mohd Isa berkata pengiktirafan terhadap UEC merupakan langkah pertama yang akan membuka ruang kepada kerosakan sistem pendidikan negara.

“GPMS memandang serius apabila pengumuman YB Menteri Pendidikan Malaysia Dr Maszlee Malik yang akan mengiktiraf UEC sepertimana yang termaktub dalam manifesto Pakatan Harapan kerana kesan daripada pengiktirafan tersebut akan menyebabkan sistem pendidikan menjadi kucar-kacir serta haru-biru yang akhirnya akan menyebabkan hilangnya hala tuju dan masa depan sistem pendidikan negara.

“Sekiranya UEC diterima dan diiktiraf oleh kerajaan maka selepas daripada ini mana-mana pertubuhan badan bukan kerajaan boleh memperkenalkan sijil peperiksaannya sendiri dan kemudiannya kerajaan terpaksa menerima dan mengiktiraf sijil mereka untuk kemasukan ke Universiti Awam dan juga sektor awam sepertimana yang diiktiraf oleh kerajaan kepada Dong Zong,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Sebagai info, Dong Zong merupakan sebuah pertubuhan badan bukan kerajaan yang mengurus tadbir peperiksaan UEC.

Ia didaftarkan dibawah Akta Pertubuhan 1966 dan bukannya sebuah badan berkanun seperti Lembaga Peperiksaan Malaysia.

Mengulas lanjut, Zambri berkata sikap Dong Zong yang berkeras untuk tidak memasukkan subjek Bahasa Melayu dan Sejarah ke dalam UEC menunjukkan seolah-olah badan tersebut menafikan keperluan rakyat Malaysia untuk bersatu padu dan saling memahami antara satu sama lain.

“Ini juga ditambah apabila kurikulum UEC tidak bersandarkan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang berteraskan soal perpaduan dan semangat patriotisme cintakan negara malah terlalu melebihkan kurikulum yang diciplak daripada China dan Taiwan atas nama untuk menjaga budaya dan asal usul mereka,” katanya.

Zambri berkata Dong Zong sepatutnya bersedia melakukan transformasi dan bertolak ansur di bawah kerajaan baharu dengan meletakkan peperiksaan UEC di bawah Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) sekiranya mahu kerajaan mengiktiraf sijil tersebut.

“Kalau Dong Zong benar-benar ikhlas demi masa depan Malaysia maka, Dong Zong perlu bersedia ikhlas berubah mengikut peredaran dan keperluan semasa dan tidak terlalu angkuh dan sombong untuk tidak menghormati sistem dan dasar pendidikan negara yang bermatlamat untuk membawa Malaysia ke arah yang lebih baik,” katanya.
Labels:
Reactions:

Post a Comment

Himpunan patut dibuat dengan segera. Semua warga negara yang cintakan perpaduaan Dan keamanan patut menyertainya

[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget