NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

UEC : Pengiktirafan mewujudkan dualisme Pendidikan - iGuru



Timbalan menteri sepatutnya buat 'homework' mengenai UEC

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 13 Zulkaedah 1439H, Khamis – Hasrat kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) untuk masuk ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) akan mewujudkan dualisme dalam sistem pendidikan negara.

Mengulangi pendirian menolak pengiktirafan UEC, Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) membantah syarat hanya kepujian Bahasa Malaysia sahaja diperlukan untuk pelajar yang memiliki sijil itu memasuki universiti awam, seperti terkandung dalam manifesto PH.

Presiden iGuru, Mohd Azizee Hasan berkata, syarat seumpama itu jelas melanggar Dasar Pendidikan Kebangsaan yang menuntut supaya kurikulum dan penilaian peperiksaan menggunakan bahasa Melayu.

Semalam, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching menegaskan bahawa hanya kepujian Bahasa Malaysia diperlukan untuk pelajar sekolah menengah persendirian Cina yang mengambil UEC untuk masuk ke universiti awam.

Ching berkata, syarat kepujian Bahasa Malaysia itu tidak termasuk subjek Sejarah atau mata pelajaran lain.

Mengulas perkara itu, Mohd Azizee berkata, Ching sepatutnya mendapatkan pandangan daripada semua pihak berhubung perkara berkenaan, dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menimbulkan kontroversi serta prejudis.

"Sebarang pengiktirafan perlu tapisan yang ketat dan melalui Majlis Peperiksaan Malaysia. UEC sebenarnya bukan setaraf SPM, tetapi STPM, asasi dan matrikulasi. Mengiktirafnya akan mewujudkan dualisme pendidikan.

"Sewajarnya timbalan menteri membuat 'homework' mengenai isu ini dan tumpukan isu beban tugas guru, isu beg berat yang dihadapi murid dan lambakan graduan pendidikan," katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Sebelum ini, UEC menjadi salah satu janji dalam manifesto PH dan Barisan Nasional (BN) yang akan ditunaikan jika membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo