NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

UEC: Mufti Perak nasihat kerajaan ambil kira maslahat umum




Oleh Athirah Huda Zalhe
BANGI, 12 Zulkaedah 1439H, Rabu – Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria hari ini meluahkan rasa dukacita beliau dengan cadangan kerajaan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Dalam satu kenyataan, beliau berkata, pengiktirafan UEC akan merungkai asas perpaduan kaum yang berpaksikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Beliau berkata, ia juga akan membuka ruang besar kepada kaum lain dengan menimbulkan semangat perkauman yang boleh merosakkan suasana harmoni di negara ini.

"Mutakhir ini bidang pendidikan yang diharmonikan dengan perpaduan kaum sedang dirosakkan oleh desakan pihak-pihak tertentu yang semakin berani menggugat Dasar Pendidikan Kebangsaan sedia ada.

"Dasar pendidikan sedia ada telah terbukti mampu memacu pembangunan negara ke arah yang lebih baik. Sistem pendidikan negara dibentuk berasaskan perpaduan kaum dan pembinaan negara bangsa," katanya.
Harussani berkata, Penyata Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960 adalah antara dasar terbaik yang telah digubal dengan mengambil kira perpaduan kaum bagi memastikan sistem pendidikan negara mampu memelihara perpaduan nasional.
Malah beliau berkata, pengorbanan negarawan seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Chen Lock, Tun Tan Chiew Sin yang menghalang pelaksanaan UEC sebelum ini adalah semangat perpaduan kaum yang sangat tinggi ditunjukkan mereka.

"Kerajaan perlu mengambil kira maslahat umum, silibus, dasar, polisi dan akta-akta sedia ada serta pandangan pakar dan tokoh negarawan yang berkaitan dalam setiap perancangan dasar baharu kerajaan.

"Bukannya sekadar menerima cadangan dan terus melaksanakannya tanpa melihat kepada kesan dan akibat dasar tersebut," katanya.

Sumber: https://www.ismaweb.net/2018/07/25/uec-mufti-perak-nasihat-kerajaan-ambil-kira-maslahat-umum/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo