NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

UEC : BN Iktiraf Jika Kepujian BM, Sejarah


Lulusan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) boleh diiktiraf sekiranya mereka memperolehi kredit dalam mata pelajaran bahasa Melayu dan sejarah dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini turut memberi peluang kepada pemegang UEC untuk memasuki institusi pendidikan guru (IPG).

"Kerajaan BN sebelum ini telah memberi kelonggaran untuk lepasan UEC bagi memasuki IPG.

"Namun tetap dengan syarat am kepujian dalam bahasa Melayu dan lulus subjek sejarah di peringkat peperiksaan SPM serta khusus untuk mengajar di peringkat SJKC sahaja," katanya melalui satu kenyataan pada Rabu.

UEC adalah sijil yang dikeluarkan Sistem Sekolah Menengah Persendirian Cina Malaysia dan pelaksanaannya tidak mengikut sistem pendidikan kebangsaan.

Baru-baru ini terdapat gesaan kepada kerajaan untuk mengiktiraf sijil tersebut bagi memberi lebih peluang kepada pelajar lulusan UEC.

Mengulas lanjut, Mahdzir yang merupakan bekas menteri pendidikan menambah bahawa dalam isu UEC, pendirian UMNO jelas iaitu semua sistem berkaitan pendidikan di negara ini perlu berlandaskan dasar pendidikan kebangsaan seperti yang diperuntukkan mengikut Akta Pendidikan 1996.

"Sistem pendidikan kebangsaan memperuntukkan bahasa kebangsaan (Bahasa Melayu) sebagai bahasa pengantar utama, kurikulum kebangsaan dan peperiksaan yang sama.

"Pendidikan yang diberikan (dalam sistem pendidikan Malaysia) adalah pelbagai dan komprehensif skopnya bagi memenuhi keperluan negara serta memupuk perpaduan negara melalui pembangunan budaya, sosial, ekonomi dan politik selaras dengan prinsip Rukunegara," katanya. - Wartawan Watan-Online

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo