NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tokoh pluralisme, liberalisme giat gugat 4 asas Perlembagaan - PAS




KUALA LUMPUR, 30 Syawal 1439H, Sabtu – Pengarah Strategi PAS Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali meminta Kerajaan Persekutuan supaya lebih peka dan prihatin serta bertindak sewajarnya terhadap isu-isu berkaitan Perlembagaan Negara.

Beliau berkata, empat perkara iaitu Islam, Raja, Melayu dan Bahasa Melayu merupakan asas yang sangat penting dalam Perlembagaan yang perlu dipelihara bagi menjamin keharmonian masyarakat berbilang agama, kaum dan budaya di negara ini.

Beliau menegaskan, ancaman terhadap asas-asas utama Perlembagaan itu jika dibiarkan akan memberi kesan negatif ke atas rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

Malah, ia juga tidak mustahil akan menjadi ledakan kepada perlakuan protes sehingga mengancam keselamatan negara, katanya.


"Malangnya mutakhir ini, asas tersebut dilihat sedang diancam secara halus dan terancang oleh individu dan organisasi yang mempunyai pengaruh dan autoriti di era Malaysia Baharu ini," katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik menerusi akaun Facebook miliknya, hari ini.

Bukan itu sahaja, beliau berkata, kumpulan dan tokoh berfikiran pluralisme dan liberalisme kini dilihat semakin lantang dan sentiasa rancak mengatur rancangan menggugat empat asas tersebut.

"Mereka semakin berani untuk memburukkan imej institusi undang-undang syariah, membebaskan umat Islam daripada ikatan undang-undang kawalan moral yang berasaskan agama serta memperjuangkan kebebasan berfikir secara mutlak dan menghapuskan kedaulatan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan di negara ini.

"Mereka ini jugalah di sebalik desakan supaya Jakim dimansuhkan dan menghalang usaha bagi memartabatkan undang-undang Islam dan institusi Mahkamah Syariah," katanya.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo