Terengganu sasar 5 juta pengunjung



Kerajaan negeri yakin dapat mencapai sasaran kunjungan lima juta pelancong dari dalam dan luar negara ke Terengganu sehingga akhir tahun ini bersandarkan keistimewaannya memiliki kepelbagaian produk pelancongan yang cukup lengkap.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, sasaran itu mampu dicapai memandangkan Terengganu memiliki pulau-pulau dan taman marin, jaluran pantai serta tasik yang boleh menarik pelancong.

''Tasik Kenyir di Hulu Terengganu adalah antara destinasi ekopelancongan yang cukup unik menjadi pilihan pelancong sekiranya tidak berpeluang ke pulau-pulau di negeri ini.

“Kebiasaannya, ada empat bulan pulau terpaksa ditutup atas faktor keselamatan pelancong,” ujarnya.

Pakaj-pakej lawatan boleh diasimilasikan antara destinasi pulau dengan destinasi seni budaya dan warisan, antara destinasi alam semulajadi dengan destinasi pantai malah boleh juga memperkenalkan destinasi Bandaraya Warisan Persisir Air dengan destinasi tasik.

Beliau yakin formulasi sebegini bakal menzahirkan lebih keterujaan kepada pengunjung untuk mengetahui keunikan yang terdapat di negeri ini.

“Negara kita amnya dan Terengganu khususnya telah dikenali sebagai destinasi mesra muslim.

“Apa yang penting adalah untuk kita menerapkan prinsip iaitu dari segi kepatuhan kepada sistem dan nilai yang ditetapkan oleh syarak, kegiatan yang mendapat keredaaan Allah S.W.T dan kesan yang diperoleh hasil kegiatan pasca pelancongan,” ujarnya.

Terengganu terkenal dengan destinasi pelancongan yang menarik seperti Pulau Perhentian, Pulau Kapas, Pulau Tenggol, Pulau Redang, Tasik Kenyir, Air Terjun Cheneror, Air Terjun Sekayu, La Hot Spring, Lata Tembakah, Kota Putera Paragliding, Tasik Putri Bukit Besi, Bukit Kluang, Gunung Tebu, Gunung Berembun, Santuari Kelah, Sungai Perang dan banyak lagi.

Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan agensi kerajaan setempat seperti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), pejabat daerah, NGO pelancongan serta agensi dan jabatan berkaitan bagi menilai serta memberi penarafan ke atas sesuatu produk pelancongan di negeri ini.

“Dalam usaha mengklasifikasikan produk pelancongan yang menepati tahap piawaian kualiti yang tinggi bagi memuaskan kehendak pelancong domestik dan antarabangsa, proses audit ini akanmenekankan aspek pemilihan, kesediaan dan potensi untuk sesuatu tempat itu dipromosikan sebagai tarikan pelancongan termasuk juga tahap keselamatan, kebersihan, serta kemudahan infrastruktur lokasi tersebut.

“Kita sasarkan dapat jalankan proses audit ini terhadap dua produk pelancongan setiap bulan dan antara lokasi yang telah dikenalpasti buat permulaan ini termasuk di Belukar Bukit, Lata Tembakah, Air Terjun Chemerong dan Tasik Kenyir,” ujarnya.

Menurut beliau, dalam usaha memacu sektor pelancongan dan kebudayaan sebagai pemangkin pertumbuhan sosioekonomi yang mampan serta memperkasa dan memelihara produk pelancongan bagi menarik lebih ramai kedatangan pelancong ke negeri ini, proses audit ini juga dapat meningkatkan keyakinan para pelancong ke atas produk pelancongan di Terengganu yang diiktiraf My-TTQS.
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget