NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Terengganu: APMM Tahan 2 Bot Nelayan Vietnam


KUALA TERENGGANU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu menahan dua bot nelayan Vietnam bersama 34 awak-awak yang menceroboh perairan negara semalam.

Pemangku Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Komander Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata tangkapan pertama dilakukan pada 6.40 pagi manakala tangkapan kedua pada 2.20 petang di lokasi antara 58.9 dan 125.8 batu nautika iaitu berhampiran pelantar minyak Guntung.

"Tangkapan dibuat oleh KM (Kapal Maritim) Segantang melalui Ops Iman ketika bot-bot tersebut sedang menunda pukat di kawasan berdekatan pelantar minyak Guntung," katanya pada sidang media di Pejabat APMM Negeri Terengganu, di sini hari ini.

Katanya dalam tangkapan pertama, KM Segantang mengejar bot berkenaan selama dua jam, sewaktu cubaan melarikan diri walaupun selepas diarahkan berhenti, malah mereka juga bertindak agresif dengan menghimpit kapal APMM bagi mengelak ditahan.

Hasil rampasan termasuk bot, 12 tan hasil tangkapan, 12,000 liter diesel dan peralatan menangkap ikan dianggarkan bernilai RM3.5 juta.

Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran yang sah daripada Pengarah Perikanan Malaysia, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai pengenalan diri dan permit kerja yang sah serta Seksyen 14(3)(b) Akta Perikanan 1985 kerana memalsukan dokumen bot.

Mengulas lanjut, Muhammad Suffi berkata jumlah tangkapan bagi kes seperti itu di Terengganu sejak Januari sehingga hari ini ialah sebanyak 32 kes dengan nilai rampasan sebanyak RM48 juta.

Jumlah itu merangkumi kes tangkapan bot nelayan asing yang menggunakan nombor pendaftaran bot tempatan, bot kargo dan bot nelayan tempatan yang dilucut hak.

"Sekarang ini pihak kami sedang menjalankan risikan dan siasatan bagi membanteras kegiatan jualan hasil laut oleh nelayan tempatan kepada nelayan asing secara terus di laut dan insya-Allah jika semuanya berjalan lancar tangkapan akan dapat dilakukan tidak lama lagi," katanya. – BERNAMA

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo