NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Sungai Kandis : PH guna logo PKR


Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata Pakatan Harapan akan menyertai pilihan raya kecil DUN Sungai Kandis dengan lambang PKR, walaupun Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) sudah meluluskan lambang gabungan empat parti itu.

Amirudin memberitahu pemberita begitu keputusan majlis presiden PH sehingga kini.

“Lambang PKR sangat dikenali di sana dan tiga penggal berturut-turut kita menang di sana. Pendekatan itu nampaknya memenangkan,” katanya selepas majlis penyampaian insentif haji di Masjid Jamek Al-Amaniah, Batu Caves, pada Jumaat.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Sungai Kandis akan diadakan pada 4 Ogos, manakala hari penamaan calon ditetapkan 21 Julai depan.

Pendaftaran PH diluluskan pada 18 Mei lepas. PH menggunakan lambang PKR pada pilihan raya 9 Mei lepas kerana masalah pendaftaran gabungan.

Mengenai pemilihan parti yang akan diadakan Ogos depan, Amirudin belum memutuskan sama ada dia akan bertanding.

Pengerusi PKR Selangor sekarang masih disandang bekas menteri besar, Datuk Seri Azmin Ali.

“Saya akan buat keputusan selepas berbincang dengan kawan-kawan,” katanya.

Ditanya mengenai keputusan Mahkamah Tinggi mengisytiharkan pihak berkuasa agama Islam Selangor tiada bidang kuasa untuk menyiasat dan mendakwa ahli-ahli komuniti Ahmadiah, menteri besar berkata dia perlu mendapatkan maklum balas Jabatan Agama Islam Selangor.

Beliau percaya Jais akan mencari jalan terbaik agar kemurniaan dan kesucian Islam terjaga.

“Termasuk menangani ajaran-ajaran yang telah difatwakan menyimpang dari ajaran sebenar termasuk Ahmadiah,” katanya.



Wartawan Watan-Online

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo