NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Selangor: HARAPAN sedia hadapi PRK Belakong

Pakatan Harapan Selangor sentiasa dalam keadaan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan khususnya dalam politik termasuk berdepan pilihan raya kecil (PRK) secara berturut-turut dalam jangka masa singkat.

Sehubungan itu, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata pihaknya akan membuat persiapan untuk menghadapi PRK kedua dalam tempoh tiga bulan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada Mei lalu susulan kematian Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balakong Ng Tien Chee dalam nahas jalan raya awal hari ini.

"Dalam politik, kita kena bersiap siaga termasuk kemungkinan dengan perkara luar bidang kita… walaupun kita baru kehilangan seorang wakil rakyat (ADUN Sungai Kandis Mat Shuhaimi Shafiei) dan belum habis pun proses itu (PRK), kita perlu menghadapinya sekali lagi.

"...apapun biarlah hal kematian Ng itu diselesaikan terlebih dahulu sebelum kita maklum secara rasmi kekosongan kerusi itu kepada SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya)," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program menyantuni dan menyemarakkan Inisiatif Peduli Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis hari ini.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam tadi, Ng disahkan maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala selepas kenderaan pacuan empat roda Nissan X-Trail yang dipandunya melanggar belakang sebuah lori di Km11.7 Lebuhraya Grand Saga dekat sini.

Pada PRU14, 9 Mei lepas, Ng daripada DAP mempertahankan kerusi itu untuk penggal kedua, menewaskan calon BN dan PAS dengan majoriti 35,538 undi.

Sambil melahirkan rasa sedih atas kematian Ng, Amirudin yang juga Anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR berkata pihaknya yakin barisan kepimpinan DAP mempunyai calon yang sesuai untuk mempertahankan kerusi berkenaan.

Semalam, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan Zawawi Ahmad Mughni sebagai calon PH pada PRK Sungai Kandis yang akan berlangsung 4 Ogos ini dengan penamaan calon diadakan esok.

Kerusi DUN Sungai Kandis kosong selepas wakil rakyat tiga penggalnya Mat Shuhaimi meninggal dunia pada 2 Julai lalu akibat kanser limfoma.

Dalam perkembangan lain, Amirudin mengesahkan beliau akan bertanding pada pemilihan PKR bulan depan.

Beliau bagaimanapun belum memutuskan jawatan yang akan ditandingi.

"Apapun ia bukanlah jawatan 'top five'... setakat ini saya fokus kepada Gombak sebagai timbalan ketua cabang dan keutamaan saya adalah Selangor. Saya mahu salurkan khidmat saya sebagai menteri besar sepenuhnya kepada rakyat negeri ini," katanya.

- Bernama


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo