Santuari Kelah: Keajaibannya hanya di Tasik Kenyir



Oleh Suhaimi Taib

Tasik Kenyir di sini berpotensi besar untuk menarik pelancong berkunjung menikmati keindahan alam dan keistimewaannya tersendiri termasuk Santuari Kelah di Lubok Kejor.

Ikan Kelah yang dikenali sebagai Raja Sungai dapat dijinakkan oleh Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) dalam masa tiga tahun untuk sumber tarikan kedua di tasik ini.

Sumber tarikan pelancong utama ialah Zon Bebas Cukai berpusat di Pulau Bayas.

35 tahun lalu, ikan Kelah mudah diperolehi di tasik ini dengan menjala di lubok di hulu Sungai Petang dan lain-lain sungai tetapi ia sukar lagi diperolehi di tasik ini sekarang melainkan di kawasan santuari tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri, Ustaz Haji Ariffin Deraman dalam lawatan kerjanya meninjau kawasan ini dan sempat bermesra dengan beribu-ribu ikan Kelah yang terdapat di santuari tersebut.

"Bermain dengan ikan-ikan kelah ini boleh menghilangkan penat berjalan kaki sejauh 1.7 kilometer dengan mengambil masa 45 minit untuk ke lubok ini, " katanya ketika memberi makan dan berendam dalam air sungai dengan di kelilingi ikan berkenaan dalam lawatan tersebut baru-baru ini.

Difahamkan harga sekilo ikan ini yang masih hidup boleh mencecah sehingga RM1,000 sekilogram sementara harga hidangan ikan yang sama di restoran biasanya tidak kurang daripada RM100 sekilogram.

Ikan yang agak liar dapat dijinakkan oleh kakitangan penguatkuasa Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) dalam tempoh tersebut.

Bermula dengan menabur buah ara yang pokoknya sedia ada di tebing sungai di lubok berkenaan tanpa menunjukkan kelibat manusia sehingga pemakanan ikan berkenaan ditukar kepada palet (sejenis makanan ikan).

Dari kakitangan santuari tidak menonjolkan diri ketika memberi makan kepada ikan-ikan berkenaan sehingga berjaya menghampiri dan bermesra dengan ikan-ikan tersebut.

Ikan-ikan berkenaan tidak menjauhkan diri tetapi bersegera menonjolkan diri apabila mengetahui kedatangan pengunjung.
Ikan ini juga terkenal dengan kelasakannya berenang lincah di celah-celah batu dalam arus sungai yang deras, membuktikan ia sememangnya 'raja' ikan air tawar.
Bagi para pemancing, keseronokan 'bertarung' dengan kelah adalah antara pengalaman yang sentiasa diidamkan.



Kekuatan ikan kelah melawan setiap tarik dan henjut pemancing serta kebijaksanaannya menggunakan keadaan sekeliling untuk melepaskan diri daripada mata kail membuat ramai pemancing yang akhirnya terpaksa menggigit jari kepasrahan apabila tewas.

Di sebalik kehebatan sang raja, ia tidak terlepas daripada ancaman kepupusan akibat angkara manusia.

Kemusnahan alam sekitar dan tangkapan secara tidak terkawal adalah dus faktor utama menyumbang kepada keadaan ini.


Menyedari ancaman yang semakin hari semakin teruk ke atas spesis ikan ini, KETENGAH membangunkan tempat perlindungan dikenali sebagai Santuari Ikan Kelah (SIK) di Lubuk Kejor, Sungai Petang yang terletak dalam kawasan Tasik Kenyir.


Pengurus Besar KETENGAH, Haji Omar Ismail berkata, projek itu mula diusahakan pada Januari 2006.

Santuari ini kemudiannya dibuka kepada orang ramai pada 15 Oktober 2008 untuk memberi peluang kepada masyarakat melihat sendiri habitat ikan kelah ini.

Bagaimanapun, santuari ini ditutup pada setiap musim tengkujuh iaitu November hingga Februari setiap tahun demi keselamatan pengunjung kerana sepanjang tempoh itu paras air sungai meningkat dan boleh berlaku banjir.

Selain itu, inilah juga musim untuk ikan ini berenang menongkah arus ke muara sungai dan bertelur.
Menurut beliau di SIK, ribuan kelah hidup bebas tanpa ancaman nafsu rakus manusia yang mahu menangkap ikan berkenaan atau merosakkan habitat mereka.

Meskipun orang ramai boleh mengunjungi santuari ini dan merasai sendiri pengalaman bermesra dengan ribuan kelah yang ada tetapi mereka dilarang sama sekali daripada menangkap atau memancing ikan itu.

"Perlu diperingatkan, semua ikan kelah di santuari ini dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Perikanan 1985, Kaedah-Kaedah Perikanan Darat Terengganu 1988 (Kaedah 21)," jelasnya.

Di bawah Akta itu, mana-mana orang yang didapati menangkap, membunuh dan memiliki ikan dalam kawasan tutup yang dinyatakan jika sabit kesalahan akan dikenakan denda tidak melebihi RM 1,000 atau penjara tidak melebihi 6 bulan atau kedua-duanya dengan perintah pegawai perikanan darat.

Dalam masa yang sama, demi menjaga kebajikan ikan di santuari itu, ia hanya dibuka untuk kunjungan 100 pengunjung sahaja untuk pada satu-satu hari.

Kuota 80 orang diberi untuk pengunjung yang membuat tempahan awal dan selebihnya untuk pengunjung yang datang tanpa membuat tempahan.

Waktu lawatan bermula 9.00 pagi hingga 12 tengah hari sahaja setiap hari.

Menurut beliau, peraturan ini dibuat demi kebajikan ikan itu sendiri.

"Kita tidak mahu ia berasa tertekan dengan kehadiran terlalu ramai pengunjung.

"Lagi pun tempat ini sebenarnya dibuat untuk ikan-ikan itu. Kita hanyalah pelawat yang datang dan pergi tetapi ikan-ikan itu akan terus kekal di sini." katanya.

Tiket ke santuari dijual pada harga RM10 bagi setiap pengunjung. Tempahan boleh dibuat melalui syarikat Kenyir Travel and Tours Sdn. Bhd. di talian 09-622 1276. Syarikat itu adalah ejen rasmi pakej pelancongan dan pengeluran permit kemasukan pelancong ke santuari ini.
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget