NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

RUU355: Serah Pada Speaker – Fuziah



Tiada campur tangan daripada pihak kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk menentukan sama ada Rang Undang-undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU355 kembali dibahaskan di Parlimen.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata ini kerana pentadbiran baharu berpegang kepada prinsip pengasingan kuasa.

Prinsip tersebut katanya menekankan bahawa badan eksekutif tidak boleh mencampuri aturan perjalanan Parlimen.

Mengulas harapan pembangkang agar RUU355 dibenar dibahaskan, Fuziah berkata prosedur Parlimen memberi kuasa kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi menentukan usul yang perlu diberi keutamaan untuk dibentang dan dibahaskan.

“Peraturan juga menyebut sebarang usul yang hendak dibawa perlu diberi notis 14 hari sebelum tarikh Parlimen bersidang.

“Jika usul itu telah dibawa tentu ia disenaraikan di dalam kertas aturan mesyuarat yang mana setakat ini perkara itu tidak kelihatan,” katanya seperti lapor media selepas merasmikan Simposium Motivator dan Trainer Muslim Malaysia pada Rabu.

Mengulas lanjut, Fuziah berkata pihak kerajaan turut bersedia untuk berbahas usul itu sekiranya ia di bawa ke Parlimen.

Namun beliau berkata RUU355 sudah pasti tidak dapat dibahaskan pada sesi Parlimen yang akan berakhir pada 16 Ogos depan.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Kelantan Datuk Mohd Nasuruddin Daud dilaporkan berkata kerajaan negeri akan mengadakan rundingan dengan kerajaan Persekutuan berhubung pembahasan RUU355 walaupun terdapat dakwaan bahawa usul tersebut tidak akan dibahaskan di Parlimen pada sesi kali ini. - Wartawan Watan-Online

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo