NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Rujuk Isu Perkahwinan Bawah Umur Kepada Hukum Syarak


1. Isu perkahwinan bawah umur sepatutnya dirujuk kepada hukum syarak dan Undang-undang Keluarga Islam di negeri-negeri dan bukannya merujuk kepada akal semata-mata dan kehendak orang politik atau kerajaan Persekutuan. 

2. Kenyataan menteri Kerajaan Persekutuan yang mahu membuat ketetapan tertentu dalam isu perkahwinan bawah umur melibatkan orang-orang Islam dilihat sebagai suatu bentuk campur tangan dan membelakangkan hukum Syarak dan undang-undang serta institusi Mahkamah Syariah di peringkat negeri ini. Lebih malang lagi ada juga pihak yang mahu perkahwinan ini dilarang sepenuhnya tanpa ada pengecualian.

3. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-106 yang bersidang pada 21 - 22 Oktober 2014 memutuskan bahawa perkahwinan kanak-kanak hanya boleh dibenarkan dengan syarat ia dilakukan semata-mata untuk memenuhi kemaslahatan kanak-kanak tersebut secara syarie.

4. Senarai II, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan telah secara jelas memperuntukkan bahawa hal berkaitan perkahwinan bagi orang yang menganut agama Islam adalah kuasa negeri kecuali bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

5. Setiap negeri mempunyai Enakmen Undang-undang Keluarga Islam serta Mahkamah Syariah masing-masing dan Sultan atau Raja pula adalah Ketua Agama Islam di negeri-negeri.

6. Enakmen Undang-undang Keluarga Islam yang dikuatkuasakan di semua negeri menetapkan umur minimun untuk perkahwinan ialah 18 tahun bagi lelaki dan 16 tahun bagi perempuan. Bagi perkahwinan di bawah umur itu, Hakim Syarie boleh memberi kebenarannya secara bertulis dalam hal keadaan tertentu.

7. Justeru, semua pihak perlulah menghormati hukum Syarak yang diaplikasikan menerusi undang-undang keluarga Islam ini dalam menangani isu-isu berkaitan perkahwinan orang-orang Islam.

8. Perkara mustahak yang perlu diberikan perhatian dan penekanan dalam membincangkan isu ini ialah kaedah Syarak bagi menolak kerosakan (Dar’ al-Mafasid) dan mengambil maslahah kebaikan (Jalb al-Masalih) daripada perkahwinan yang didirikan dengan kebenaran yang diberikan oleh Hakim Syarie itu. 

9. Melarang sepenuhnya perkahwinan bawah umur tanpa pengecualian adalah bercanggah dengan keharusan dalam hukum Syarak. 

10. Menentukan sesuatu kebaikan atau keburukan bagi sebarang tindakan melibatkan agama seperti perkahwinan perlulah dirujuk pada kaedah dan hukum Syarak bukan hanya akal dan nafsu semata-mata. 

Sekian.


”Sejahtera Bersama Islam”


DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI adalah Ahli Parlimen Kuala Nerus

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo