NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Richard Malanjum dilantik Ketua Hakim Negara baharu




Tan Sri Richard Malanjum malam ini mengangkat sumpah sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu berkuat kuasa hari ini.

Malanjum, 65, menerima surat cara pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V dalam satu upacara di Bilik Singgahsana Kecil, Istana Negara, di sini.


Upacara pengurniaan watikah pelantikan dan angkat sumpah jawatan turut dihadiri Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew View Keong; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa; Peguam Negara Tommy Thomas; dan Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Latifah Mohd Tahar.

Malanjum, bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak menggantikan Tun Md Raus Sharif yang mengemukakan surat peletakan jawatan sebagai Ketua Hakim Negara pada 31 Julai.

Malanjum dilahirkan pada Oktober 1952 di Tuaran, Sabah di mana beliau memulakan persekolahannya di peringkat rendah dan menengah di Kota Kinabalu, Sabah.

Beliau memulakan kerjayanya dengan berkhidmat di Jabatan Pelajaran dan kemudian beberapa jabatan kerajaan yang lain.

Pada 1972, beliau melanjutkan pelajaran ke Institut Teknologi Mara (sekarang Universiti Teknologi Mara) di Shah Alam, Selangor, sebagai pelajar luar kampus University of London dalam bidang Undang-Undang dan telah dianugerahkan Bachelor of Laws (LL.B)(Hons)(London) pada 1975.

Setelah memperoleh ijazah undang-undang, Malanjum berkhidmat di Jabatan Ketua Menteri Sabah dan ditugaskan sebagai Timbalan Pendakwa Raya di Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah.

Malanjum telah melanjutkan pelajaran di London dan berjaya menghabiskan pengajian "Bar-at-Law" pada tahun yang sama. Beliau telah dipanggil ke "The English Bar of the Honourable Society of Gray's Inn" di London.

Sekembalinya dari London, beliau berkhidmat semula di Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah sebagai Pegawai Undang-Undang/Timbalan Pendakwa Raya.

Pada tahun 1977, beliau diterima masuk sebagai Peguambela dan Peguamcara di Sabah dan juga diterima masuk ke "The Australian Capitol Territory" (ACT) Bar pada 1991. – Bernama

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo