NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Raja-Raja Melayu tubuh jawatankuasa tertinggi pertahan Islam




BANGI, 17 Zulkaedah 1439H, Isnin
– Raja-Raja Melayu berkenan menubuhkan Jawatankuasa Tertinggi Institusi Hal Ehwal Islam Peringkat Persekutuan dalam usaha menambah baik institusi Islam di negara ini.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dalam kenyataan memaklumkan, jawatankuasa berkenaan dianggotai lima ahli daripada kalangan tokoh pentadbir, agama dan akademik yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V dengan persetujuan Majlis Raja-Raja.




Jawatankuasa itu dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dan Timbalannya, Datuk Dr Afifi al-Akiti yang juga Felo di Oxford Centre for Islamic Studies.
Keahlian jawatankuasa turut terdiri daripada Profesor Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan daripada Universiti Islam Antarabangsa (UIA); bekas Mufti Johor, Datuk Nooh Gadot dan bekas Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Wan Mohamad Datuk Sheikh Abdul Aziz.
Sementara, Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dilantik sebagai urus setianya.
Keputusan menubuhkan jawatankuasa tertinggi itu dicapai oleh Raja-Raja Melayu yang bersidang pada 10 Julai lalu, menjelang Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-249, kata kenyataan itu.
Ia berfungsi untuk mengkaji kedudukan pengurusan hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan, latar belakang penubuhan, bidang kuasa, serta keberkesanan agensi-agensi agama sedia ada termasuk agensi perundangan dan penghakiman Syariah di peringkat Persekutuan.
"Dalam menjalankan tugas-tugasnya, jawatankuasa tertinggi ini juga akan menerima memorandum dan berbincang dengan pihak yang berkepentingan, termasuk mereka yang sudi dengan sukarela menyampaikan pendapat masing-masing," katanya.
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja menegaskan, penubuhan jawatankuasa tertinggi terbabit selari dengan kedudukan Islam yang termaktub mengikut Perkara 3, Perlembagaan Persekutuan.

"Usaha ini amat wajar kerana ia kekal menghormati prinsip dan bidang kuasa Raja-Raja sebagai Ketua Agama Islam di negeri masing-masing, di mana institusi agama terus ditambah baik demi mempertahankan Islam, di samping terus menyebarluaskan nilai-nilai kesejagatan Islam di negara ini," katanya.
Dalam kenyataan itu, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja berkata, hasil kajian jawatankuasa tertinggi itu kelak akan dikemukakan kepada Majlis Raja-Raja dengan cadangan penambahbaikan bagi pentadbiran dan pengurusan hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan agar ia berada di atas landasan yang betul.

Sumber: https://www.ismaweb.net/2018/07/30/raja-raja-melayu-tubuh-jawatankuasa-tertinggi-pertahan-islam/

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo