NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PRN di Kedah jika…



Oleh Razali bin Zakaria
Pengarang Kanan Ismaweb.net

ALOR SETAR, 19 Syawal 1439H, Rabu – Selain kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang ditangkap petang semalam, perhatian seluruh negara juga tertumpu kepada keadaan politik dan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) di Kedah, hari ini.

Sebentar lagi, majlis mengangkat sumpah jawatan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah bakal diadakan, dan pastinya memerlukan sokongan biarpun satu undi majoriti daripada sejumlah 36 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).

Selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) 9 Mei lalu, kerajaan Barisan Nasional (BN) negeri Kedah diterajui UMNO, tumbang di tangan PH, tetapi gabungan empat parti iaitu PPBM, PKR, DAP dan PAN, tidak mendapat majoriti dua pertiga bagi memperkukuhkan cengkaman mereka, sebaliknya kerajaan yang ditubuhkan adalah rapuh.

PH hanya memperoleh 18 kerusi, PAS (15 kerusi) dan UMNO (tiga kerusi). Keadaan ini menjadikan kerusi kerajaan dan pembangkang sama banyak, sekali gus mencetuskan krisis pelantikan Speaker DUN.

Namun, PKR telah mengesahkan ahli mereka, bekas Ahli Parlimen Kuala Kedah, Datuk Ahmad Kassim, bakal dilantik sebagai Speaker DUN Kedah, pagi ini.

Dua kemungkinan akan berlaku ketika proses untuk mendapat sokongan semua Adun akan pelantikan Ahmad, di mana undi akan dijalankan.

Pastinya, semua 18 Adun PH akan menyokong pelantikan Ahmad. Tetapi bagaimana dengan pembangkang?

Jika mengikut kenyataan-kenyataan yang dibuat pemimpin PAS Kedah dan Pusat berkenaan isu Speaker DUN Kedah sebelum ini, kelihatan parti itu akan menolak.

Bagaimana pula dengan tiga Adun UMNO yang menjadi kuasa penentu pelantikan Speaker?

Jika ketiga-tiga Adun UMNO menyokong atau berkecuali dalam isu pelantikan itu, ianya tidak menjadi masalah kepada kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Tetapi, mengambil kira empat faktor semasa yang berlaku, adakah Adun UMNO itu menyokong atau berkecuali? Faktor berkenaan ialah:

1. Datuk Suraya Yaacob, Adun UMNO DUN Sungai Tiang baru-baru ini menang kerusi Majlis Tertinggi UMNO;
2. Penahanan Najib;
2. Pembekuan akaun UMNO; dan
3. Kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad di Langkawi bahawa kerajaan PH tidak akan bekerjasama dengan pembangkang.

Justeru, jika mahu membalas dendam terhadap kekalahan teruk UMNO, dan mengambil kira empat faktor berkenaan, pastinya ketiga-tiga Adun UMNO itu akan bersama PAS, menolak pelantikan Speaker.

Ini akan menyebabkan DUN Kedah tidak berfungsi, sekali gus mandat diberikan sekali lagi kepada rakyat Kedah menerusi PRN.

Tetapi, adakah UMNO akan berbuat demikian kerana untuk membalas dendam dan membelakangkan kepentingan rakyat? Jam 9 pagi ini, segala-galanya menjadi penentuan.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo