NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PRK Sungai Kandis: Calon 'berebut' undi PAS


SHAH ALAM: Seminggu selepas kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis bermula Sabtu minggu lalu, kedua-dua calon PKR dan Barisan Nasional (BN) 'berebut' undi penyokong PAS di kawasan itu.

Kedua-dua calon, Mohd Zawawi Ahmad Mughni yang mewakili PKR dan Datuk Lokman Noor Adam dari BN mendakwa selepas enam hari berkempen, mereka mendapat sokongan daripada penyokong PAS.

Mohd Zawawi yang juga anak tempatan di situ, berkata ahli akar umbi PAS sudah memberi jaminan untuk menyokongnya dalam PRK Sungai Kandis.

Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam beramah mesra dengan orang ramai ketika bersarapan di Kampung Jawa dalam kempen Pilihan Raya Kecil N49 DUN Sungai Kandis. - Foto Roslin Mat Tahir


Beliau dilaporkan berkata, sokongan itu dimaklumkan selepas bersemuka dengan mereka atau melalui panggilan telefon.

Kalau difikirkan, logik juga dakwaan Mohd Zawawi itu berikutan kebanyakan penyokong PAS adalah rakannya dalam kerja dakwah.

Lokman pula percaya kenyataan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, kelmarin bahawa parti itu mendorong ahlinya mengundi BN, memberi kelebihan kepada BN di PRK Sungai Kandis.

Beliau yang juga bekas reformis Jalan Kebun bersama-sama Datuk Ezam Mohd Noor suatu ketika dulu dilaporkan berkata, ini solidariti kali pertama UMNO dan PAS dalam usaha berdepan Pakatan Harapan (PH).

Calon PKR, Zawawi Ahmad Mughni beramah mesra dengan orang ramai ketika bersarapan pagi di Kampung Dagang sempena Pilihan Raya Kecil N.49 Dun Sungai Kandis 4 Ogos ini. - Foto Osman Adnan

Seminggu berkempen, kelibat calon Bebas, K Murthy pula tidak kelihatan di mana-mana, seperti kenyataannya pada hari penamaan calon 21 Julai lalu bahawa kempennya adalah rahsia.

Jika calon BN dan PKR giat melawat dari rumah ke rumah dan pasar pagi serta malam, tidak diketahui bagaimana Murthy pula berkempen meraih undi untuknya bagi memberi saingan kepada kedua-dua tokoh tempatan dan luar itu.

Hari ini, kempen diteruskan dengan kerja meraih undi di kawasan yang berbeza sebelum masuk pusingan kedua esok.

PRK Sungai Kandis diadakan selepas kematian wakil rakyatnya, Mat Shuhaimi Shafiei, 50, pada 2 Julai lalu akibat kanser limfoma.

Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam beramah mesra dengan orang ramai ketika bersarapan di Kampung Jawa dalam kempen Pilihan Raya Kecil N49 DUN Sungai Kandis. - Foto Roslin Mat Tahir

Pada PRU-14, DUN Sungai Kandis menyaksikan pertembungan empat penjuru dengan Mat Shuhaimi mempertahankan kerusinya apabila mengalahkan calon BN, Datuk Kamaruzzaman Johari; calon PAS, Mohd Yusof Abdullah; dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin.

Mat Shuhaimi meraih 23,998 undi dengan majoriti 12,480 undi, mengalahkan Kamaruzzaman (11,518 undi), Mohd Yusof (7,573 undi) dan Hanafiah, 76 undi.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo