NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PRK Sg Kandis : PKR Sedia Tampilkan Calon Luar


PKR bersedia untuk menampilkan calon luar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis jika ia mampu memberi kemenangan kepada parti itu.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, pihaknya telah mengemukakan beberapa cadangan, termasuk berkaitan calon kepada pucuk kepemimpinan parti.

“Kita telah mengemukakan beberapa pandangan kepada pucuk kepemimpinan parti dan berharap ia akan diambil kira.

“Namun, kita perlu mengambil kira faktor untuk mengetengahkan calon tempatan. Kita terbuka dan semua perkara serta pandangan kita nilai,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan insentif haji muassasah peringkat DUN Sungai Kandis di Masjid An–Naim Kampung Batu 7, Jalan Kebun malam tadi.

Amirudin berkata, PKR tidak mengambil mudah PRK Sungai Kandis walaupun ia merupakan kubu kuat parti itu.

“Kita perlu memberi tumpuan kepada pengukuhan jentera parti termasuklah melaksanakan strategi kempen yang berkesan,” katanya.

Kerusi DUN Sungai Kandis kosong selepas penyandangnya Mat Shuhaimi Shafie meninggal dunia akibat kanser limfoma, pada usia 50 tahun.

Pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) 9 Mei lepas, Allahyarham menewaskan tiga calon lain di DUN berkenaan dengan majoriti 12,480. - Wartawan Watan-Online

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo