NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PRK Sg Kandis: BN akan gagal jika PAS tak tolong - Lokman


SHAH ALAM: Barisan Nasional (BN) tidak mampu menewaskan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya kecil (PRK) DUN Sungai Kandis tanpa mendapat sokongan dan bantuan PAS, kata Datuk Lokman Noor Adam.

Calon BN itu berkata, isyarat tidak langsung PAS yang bersetuju tidak meletakkan calon mereka dalam PRK itu juga petanda parti Islam itu istiqamah dalam mempertahankan agama Islam.

“Peluang itu cerah namun apa yang perlu saya buat adalah dapatkan sokongan tambahan daripada teman-teman daripada PAS, termasuk pertolongan rakan-rakan lama dari zaman era reformasi.

“Tidak boleh (menang tanpa mendapat sokongan dari PAS), saya berani cakap kalau orang PAS tidak tolong saya, mustahil saya boleh menang, kerjasama ini sangat penting.

“Teman-teman dari PAS sedar keadaan di dalam negara, mereka lebih istiqamah dalam bab mempertahankan Islam, jadi saya nampak, sebab itulah kali pertama mereka memberi laluan kepada kita menentang PH,” katanya dalam wawancara bersama FMT.

Sebelum ini, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan Umno dan PAS merupakan “adik-beradik” kerana keputusan parti Islam itu memberi laluan kepada Umno bertanding menentang PH pada PRK kali ini.

Walaupun dinafikan pemimpin Umno dan PAS berhubung isu “adik-beradik”, beberapa kenyataan pimpinan tertinggi PAS dilihat lebih cenderung “merestui” Lokman sebagai calon pilihan pengundi di DUN Sungai Kandis.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, walaupun tidak meletakkan calon dan menurunkan jentera, beliau menyarankan ahli PAS lakukan pertimbangan wajar demi kepentingan Islam-Melayu serta masa depan negara.

“PAS berpandangan suatu amalan demokrasi yang baik memerlukan proses semak dan imbang dalam pentadbiran sesebuah kerajaan, termasuklah kerajaan Selangor. Dengan kata lain peranan pembangkang adalah amat penting,” kata Takiyuddin.

Namun, Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, PAS tidak mengadakan perbincangan dengan BN, serta menolak kerjasama, termasuk duduk sepentas berceramah ataupun berkempen dengan BN pada PRK ini.

Lokman bagaimapun bersetuju dengan pandangan bahawa PRK DUN Sungai Kandis adalah petanda awal kepada kerjasama lain antara PAS dan BN, khususnya Umno pada masa akan datang.

“Betul (petanda awal antara PAS dan BN), kalau kita lihat prestasi PH dalam pilihan raya lepas di DUN Sungai Kandis ini, kita lihat kalau dicampur undi PAS dan BN, kita masih kalah dalam majoriti 4,000 lebih undi.

“Jadi, macam mana saya hendak menang kalau PAS tidak bersama dengan saya. Kalau lihat keputusan PRU14 lalu, jika bersama dengan PAS juga masih tidak mencukupi,” katanya.

Kerajaan kini bukan majoriti Islam

Tambah Lokman, isu berkaitan agama Islam, bangsa Melayu, bahasa kebangsaan dan kedudukan Yang di-Pertuan Agong penting untuk diperjelaskan kepada pengundi di DUN Sungai Kandis.

“Inilah pilihan raya kecil yang pertama selepas PH membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan. Ramai tidak sedar kerajaan yang memerintah kini lebih 50% terdiri daripada bukan Islam.

“Jadi ini bukan kerajaan Islam, kena faham ini. Kerajaan yang memerintah kini bukan majoriti Islam, berbeza dengan dahulu di bawah pentadbiran BN.

“Ini kali pertama pentadbiran kerajaan dibentuk dari perdana menteri Melayu yang memperolehi 13 wakil sahaja, ini bermakna dia perlu dapatkan sokongan DAP yang memperolehi 42 wakil di Parlimen,” katanya.

Katanya, disebabkan itu sudah tentu hala tuju, keputusan dan tindakan perdana menteri ketika ini dipengaruhi parti yang mempunyai majoriti wakil di peringkat Parlimen.

“Ini realiti yang berlaku, hingga menyebabkan PRK ini menjadi suatu pungutan suara bagi rakyat sama ada rakyat bersetuju dengan prestasi kerajaan sekarang ini atau tidak bersetuju,” katanya.

Kerusi DUN Sungai Kandis kosong susulan penyandang kerusi berkenaan Mat Shuhaimi Shafiei daripada PKR meninggal dunia akibat kanser limfoma pada 2 Julai lepas.

Mat Shuhaimi memenangi PRU14 dengan memperolehi sebanyak 23,998 undi, manakala calon BN, Kamaruzzaman Johari (11,518), calon PAS Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan calon PRM Hanafiah Husin (76).

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo