NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Isma: Presiden beri amaran iktiraf UEC lintas garis merah





Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin


BANGI, 5 Zulkaedah 1439H, Rabu – Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman memberi amaran bahawa pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) akan membawa kesan yang amat buruk kepada sistem pendidikan negara.

Beliau yakin, rakyat juga tidak akan membenarkan ianya berlaku di negara ini.

Justeru, katanya, kerajaan Pakatan Harapan (PH) harus bersedia menerima hukuman rakyat jika pengiktirafan itu tetap diteruskan.

"Kerajaan sepatutnya faham UEC bukan sekadar bahasa tetapi soal perpaduan nasional dan keharmonian.

"Jika UEC diiktiraf, berbagai keruncingan masalah sosial boleh berlaku dan pastinya mencetus kegelisahan masyarakat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan seharusnya menunjukkan komitmen untuk memartabatkan sistem pendidikan kebangsaan.

"Kerajaan tidak harus membiarkan sistem pendidikan kebangsaan dicabar. Amat malang jika kerajaan sendiri mengkhianati sistem pendidikan kebangsaan," katanya.

Terdahulu, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, pihaknya akan tetap meneruskan rancangan untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) selaras manifesto Pakatan Harapan pada pilihan raya umum lepas.

Beliau menegaskan, pihaknya tidak akan membuat 'pusingan u' atau dilihat flip-flop dalam perkara itu.

UEC adalah satu silibus sekolah persendirian Cina yang mana sukatan pelajarannya diambil dari Taiwan. Pengiktirafan UEC bercanggah dengan Dasar Pendidikan dan Akta Pendidikan 1996.

UEC turut mendapat desakan daripada Persatuan Lembaga Pengelola Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) supaya diiktiraf dalam sistem pendidikan negara.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo