NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PKR: Azmin tak akan lawan Anwar untuk jawatan presiden?



Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali tidak akan menentang Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi jawatan presiden PKR pada pemilihan parti itu akan datang.

Setiausaha Politiknya, Hilman Idham yang mengesahkan perkara itu berkata Azmin akan sentiasa berada di belakang Anwar dalam menerajui PKR.

"Dalam hal ini saya kira, selepas pengumuman Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding jawatan presiden dalam Keadilan (PKR), saya dapati Datuk Seri Azmin sambut baik kenyataan tersebut.

"Saya kira beliau pasti akan menawarkan diri sekali lagi untuk mempertahankan jawatan timbalan presiden.

"Sekiranya Anwar bertanding jawatan presiden, saya cukup pasti, Datuk Seri Azmin akan menjadi orang di belakang beliau (Anwar) yang sentiasa bersama beliau menerajui PKR," katanya kepada pemberita di lobi parlimen, hari ini.

Dalam pada itu, Hilman juga melihat gandingan Anwar dan Azmin sebagai gandingan terbaik untuk memimpin PKR ke hadapan.

"Ia boleh dikatakan gandingan yang unbeatable (tidak ada tolok bandingnya), insya Allah ia mampu jana Malaysia baru yang lebih baik," katanya.

Ahad lalu, Anwar mengumumkan akan bertanding presiden selepas mengambil kira semua pandangan dan keperluan demi kelangsungan PKR.

Sebelum ini beberapa pemimpin PKR menggesa beliau bertanding jawatan itu, antaranya naib presiden Shamsul Iskandar Md Akin dan ketua pemudanya Nik Nazmi Nik Ahmad.

Wan Azizah Wan Ismail juga telah menyatakan kesediaannya untuk berundur jika Anwar akhirnya memutuskan untuk bertanding jawatan itu.

Semalam tular di media sosial poster berlatar belakang wajah Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin yang dikatakan menyokong Azmin sebagai presiden bagi pemilihan kali ini.

'Poster sokong Azmin palsu'

Turut muncul dalam poster itu tanda pagar #Keadilanbaru dan #Azmin4presiden.


Hilman ketika diminta mengulas lanjut berkata, poster yang tular itu adalah palsu.

"Kita pun tak tahu dari mana muncul, seperti yang saya sebut tadi ahli di peringkat akar umbi boleh mencadangkan apa sahaja tetapi akhirnya sebagai pimpinan kita kena buat satu keputusan.

"Apa yang saya yang telah dizahirkan selama ini kesetiaan beliau kepada parti, kepimpinan Azmin tak boleh dipertikaikan," katanya.

Terdahulu Azmin dalam sidang medianya di parlimen berkata akan membuat pengumuman mengenai pemilihan parti itu.

"Belum, nanti saya umumkan," katanya ringkas.

Sementara itu Hilman ketika ditanya bagaimana nama Azmin boleh muncul sebagai presiden PKR berkata, dalam sistem demokrasi, mana-mana pihak berhak menamakan calon masing-masing.

"Seperti yang saya sebut, boleh calonkan siapa sahaja dan dalam sistem demokrasi, kita tak boleh tutup suara mereka.

"Saya kira itu perkara biasa dalam mana-mana pemilihan parti, nama mana-mana pimpinan dicadangkan untuk mengisi mana-mana jawatan.

"Lumrah dan dalam Keadilan sendiri yang mengamalkan demokrasi dan keterbukaan, apa-apa jawatan dalam parti boleh dipertandingkan," katanya. 


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo