NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Petugas khas 1MDB tak beku akaun yayasan Tunku Azizah



Pasukan Petugas Khas 1MDB menafikan bertindak membekukan akaun Yayasan Kesuburan Tunku Azizah (TAFF), yang dinaungi Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

"Pasukan Petugas Khas 1MDB ingin menjelaskan bahawa pasukan berkenaan tidak pernah terlibat dengan tindakan pembekuan akaun Yayasan Kesuburan Tunku Azizah (TAFF).

"Dimaklumkan juga bahawa yayasan tersebut tiada kaitan dengan siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang sedang dijalankan oleh Pasukan Petugas Khas 1MDB ketika ini," kata kenyataan ringkas pasukan petugas 1MDB yang ditandatangani Tan Sri Abdul Gani Patail, Tan Sri Abu Kassim Mohamed, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull dan Datuk Abdul Hamid Bador.

Petugas khas 1MDB juga meminta isu akaun TAFF tidak dikaitkan dengan siasatan pasukan itu.

"Sehubungan itu, semua pihak diminta agar tidak mengaitkan isu terbabit dengan siasatan kes 1MDB," kata kenyataan itu.

'Kenapa? Kenapa?'

Sebelum ini, Tengku Puan Pahang mendakwa akaun sebuah pertubuhan amal yang dinaunginya dibekukan.

Sebelum ini, Tunku Azizah menulis hantaran Twitter mempersoalkan tindakan pembekuan akaun TAFF itu.

"Akaun Yayasan Kesuburan Tunku Azizah dibekukan....kenapa? Kenapa? Kenapa? Saya percaya kepada ketelusan dan pertanggungjawaban," tulis hantaran Twitter itu pada 30 Jun lalu.

Bagaimanapun, dalam hantaran Twitter hari ini, Tunku Azizah berkata pihak bank telah menghubunginya bagi mendapatkan temu janji untuk menjelaskan keadaan dan mengembalikan semula akaun itu.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo