NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Perlembagaan Benarkan Orang Islam Gunapakai Hukum Islam Dalam Kehidupan Harian – Peguam Mohamed Hanif Khatri Abdulla


Kuala Lumpur: Peguam Mohamed Hanif Khatri Abdulla menegaskan dari sudut Perlembagaan, orang Islam dibenarkan menggunapakai hukum-hakam Islam yang sah dalam kehidupan harian masing-masing. 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas lanjut isu berhubung gadis sunti berkahwin muda di Kelantan yang menjadi hangat sekarang apabila terdapat pihak yang membantah dengan melabelnya sebagai ‘child marriage'.

Hanif Khatri berkata, menurut Perlembagaan juga, Mahkamah Syariah diberi bidang kuasa untuk mengawalselia pelaksanaan undang-undang Islam daripada sudut kehakiman. “Manakala pihak Majlis Agama setiap negeri pula, diberi kuasa di bawah Enakmen Negeri masing-masing untuk mengawalselia pelaksanaan undang-undang Islam itu, daripada sudut perundangan dan pemakaiannya.” 

Dalam erti kata lain, sepertimana adanya pihak berkuasa Polis, SPRM, Bank Negara, Kastam dan pelbagai agensi lain berserta Mahkamah Sivil/Jenayah untuk undang-undang biasa yang terpakai terhadap kesemua rakyat Malaysia, begitulah juga Mahkamah Syariah dan Majlis Agama. 

Persoalannya, kenapakah perlunya Islam dan undang-undang Syariah menjadi inferior kepada acuan dan konsep perkahwinan berkiblatkan Barat semata-mata? Menurut Hanif Khatri, undang-undang biasa termasuk peruntukan berkaitan hak asasi sememangnya adalah terpakai terhadap orang Islam di Malaysia, tetapi selagi ianya tidak bercanggah dengan undang-undang Syariah yang sahih. 

“Oleh itu, ianya adalah salah untuk diletakkan Hukum-Hakam Syarak yang dikawal selia di bawah undang-undang Syariah untuk dinilai melalui acuan yang sama dengan undang-undang biasa.”

Jelas beliau, ini adalah kerana undang-undang biasa adalah berteraskan “keadilan” menurut akal manusia, yang tidak semestinya salah. Manakala, undang-undang Syariah adalah menurut kepercayaan kepada “keadilan” Allah, yang membenarkan sesuatu perkara dan mengharamkan sesuatu perkara. 

Ketika diminta komen beliau terhadap pihak-pihak yang cuba memisahkan pasangan walaupun kedua-dua pihak mendakwa mereka disatukan atas dasar suka sama suka, Hanif Khatri berkata, isu spesifik berkenaan pernikahan dengan mana-mana gadis Muslim “bawah umur” sememangnya mesti dan wajib dinilai menurut acuan Hukum Syarak dan bukan menurut acuan undang-undang biasa, kerana itulah yang diperuntukkan Perlembagaan. 

Menurut beliau lagi, soal berkaitan cara pelaksanaan, kebenaran ibu bapa, ataupun kesahihan pernikahan bersandarkan paksaan fizikal ataupun mental, mestilah diputuskan melalui jurisprudens Islam yang boleh dikawalselia di bawah Enakmen Negeri serta dilaksana kawalselia oleh Majlis Agama dan Mahkamah Syariah. Justeru tegas beliau, cukup-cukuplah kepada orang yang tidak mahu faham tentang pemakaian hukum-hakam Islam ke atas orang Islam di Malaysia.

“Ianya adalah hak dan tanggungjawab kesemua cabang kerajaan untuk menyokong kedudukan ini seperti yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan pada tahun 2013 dalam kes THE HERALD atau lebih dikenali sebagai kes “KALIMAH ALLAH”,” katanya. 


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo