NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Perkasa institusi mahkamah, RUU355 mampu cegah LGBT



KUALA LUMPUR, 23 Syawal 1439H, Sabtu – Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hasan berpendapat pemerkasaan institusi mahkamah dan enakmen jenayah Syariah melalui pindaan Akta RUU 355 merupakan salah satu langkah terbaik mencegah isu Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual (LGBT).

Beliau berkata, hukuman juga perlu ditingkatkan supaya ia memberi pengajaran dan mampu menimbulkan penyesalan terhadap perkara mungkar.

"Saya yakin salah satu ruangnya ialah seperti apa dirintis PAS selama ini iaitu memperkasakan institusi Mahkamah Syariah melalui pindaan akta RUU 355," katanya.

Pada masa sama, beliau menegaskan, Pakatan Harapan perlu buktikan mereka mampu mengangkat kemuliaan Islam dan memelihara sosial rakyat dengan kuasa yang mereka ada sekarang.

"Bagi kerajaan memerintah, manfaatkan kuasa diberikan dengan menguatkuasakan pencegahan kemungkaran di Malaysia sebagaimana diperintah Allah.

"Tindakan boleh diambil samada melarang perbuatan tersebut, mengambil langkah pencegahan yang ketat, kempen basmi gaya hidup LGBT atau kenakan hukuman sewajarnya.

"Ini bukanlah perkara baru dalam negara kita. Ia dikatakan sudah bermula sejak tahun 1980an malah pernah dibincangkan oleh Majlis Raja-Raja juga.

"Allah memberikan peluang kepada mereka (Harapan) berada di tampuk pemerintahan. Antara tanggungjawab utama sebuah pemerintahan ialah menguatkuasakan syariat dan membasmi kemaksiatan," katanya.

_____________________________


Kenyataan Asal

Kenyataan Media Penerangan. 201/72
22 Syawwal 1439 | 6 Julai 2018

LGBT HARAM, TAKKAN HANYA DIALOG?

Oleh : Nasrudin bin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat
https://m.facebook.com/kpenerangan

1. Saya merujuk kepada wawancara Malaysiakini dengan Menteri Agama, YB Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa yang disiarkan oleh portal tersebut yang bertarikh 6 Julai bertajuk, “LGBT Haram: tapi antara dia dan Allah, kata menteri”.

2. Berdasarkan wawancara tersebut, satu titik persefahaman yang boleh dipersetujui dalam kenyataan beliau ialah LGBT merupakan satu amalan yang haram di sisi Islam malah perlakuannya sangat terkutuk berdasarkan kepada Al-Qur’an, Al-Hadith dan Al-Ijma’.

3. Kini, Allah swt telah memberikan peluang kepada mereka berada di tampuk pemerintahan. Antara tanggungjawab utama sebuah pemerintahan ialah melaksanakan Al Amru bil Makruf (menguatkuasakan syariat) dan An Nahyu a’nil Mungkar (membasmi kemaksiatan).

4. Dialog adalah salah satu mekanisme yang baik untuk dijalankan, namun kuasa yang ada juga hendaklah digunakan untuk mencegah kemungkaran samada dengan melarang perbuatan tersebut, mengambil langkah pencegahan yang ketat, kempen basmi gaya hidup LGBT atau mengenakan hukuman yang sewajarnya sebagai satu peringatan yang tegas.

5. Justeru, Isu LGBT bukanlah perkara yang baru berlaku dalam negara kita. Ia sudah bermula sejak tahun 1980-an sehingga pernah dibincangkan oleh Majlis Raja-Raja Kali Ke-126.

6. Amalan LGBT semakin terbuka dan berkembang malah pada tahun 2012 sudah dianjurkan majlis resepsi kahwin pasangan gay di Kuala Lumpur dan hari ini tanpa segan silu mereka menganjurkan majlis pre-wedding di Cameron Highland. 

7. Pada masa yang sama, golongan LGBT juga sudah berani memperjuangkan amalan ini dengan memfailkan permohonan untuk membuat semakan kehakiman terhadap Seksyen 66, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 (Rujuk kes Muhammad Juzaili bin Mohd Khamis dan lain-lain lawan Kerajaan Negeri Sembilan dan lain-lain).

8. Oleh sebab itu, menangani isu LGBT tidak memadai sekadar dialog. Dialog boleh diteruskan dan diurus oleh badan-badan Islam milik kerajaan mahupun bukan kerajaan sebagai satu usaha dakwah. 

9. Namun bagi pihak kerajaan yang berkuasa dan memerintah, manafaatkan kuasa yang telah diberikan dengan menguatkuasakan pencegahan kemungkaran di Malaysia sebagaimana yang diperintah oleh Allah swt, lantaran LGBT bukan kemungkaran baru dan bukan juga baru berlaku di negara kita.

10. Saya yakin salah satu ruangnya ialah seperti apa yang telah dirintis oleh PAS selama ini iaitu memperkasakan institusi mahkamah Syariah dan enakmen jenayah Syariah melalui pindaan akta RUU 355. 

11. Tingkatkan hukuman supaya ia memberi pengajaran kepada rakyat dan mampu menimbulkan perasaan penyesalan terhadap pelaku mungkar.

12. Pakatan Harapan khususnya Parti Amanah Negara perlu buktikan, dengan kuasa yang sudah ada di tangan, tindakan yang boleh dilakukan lebih luas dan tegas untuk mengangkat kemuliaan Islam dan memelihara sosial rakyat agar tidak terjebak dalam kancah mungkar. 

Takkan hanya dialog?

Sejahtera Bersama Islam.


Sekian.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo