NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Perkahwinan Kanak-Kanak 11 Tahun, Dewan Muslimat PAS Negeri Kelantan (DMPNK) Gesa Siasatan Menyeluruh 


1. Dewan Muslimat PAS Negeri Kelantan (DMPNK) mengambil perhatian berkenaan kejadian kanak-kanak berumur 11 tahun yang telah berkahwin dengan seorang lelaki yang merupakan seorang peraih getah yang berusia 41 tahun.

2. Dewan Muslimat PAS Negeri Kelantan (DMPNK) khuatir jika isu ini tidak diselesaikan secara baik oleh pihak berwajib, ia akan menimbulkan polemik yang tidak terkawal. Apatah lagi isu ini melibatkan seorang kanak-kanak di bawah umur yang sepatutnya dijaga, dibelai dan disayangi dari sudut emosi, fizikal & mental. 

3. Saya, mewakili Dewan Muslimat PAS Negeri Kelantan (DMPNK) , sejurus mendapat maklumat mengenai kes ini telah mengambil langkah segera menemui Yang DiPertua Majlis Agama Islam Narathiwat, Baba Haji Syafie dan beliau memaklumkan bahawa perkahwinan yang dibuat di Golok oleh pasangan berkenaan sebenarnya tanpa kebenaran dari Majlis Agama Islam Narathiwat. 

4. Yang Dipertua Majlis Agama Islam Narathiwat turut menjelaskan bahawa undang - undang di sini tidak membenarkan perkahwinan melibatkan pasangan bawah umur. Selain itu Baba Hj Syafie yang merupakan YDP Majlis Agama Islam Narathiwat itu turut mengulas tentang isu ini bahawa pejabat beliau tiada maklumat rasmi tentang isu ini serta tidak ada permohonan dibuat melalui pejabat beliau.

5. Oleh itu, Dewan Muslimat PAS Negeri Kelantan (DMPNK) menyambut baik siasatan awal yang dilakukan oleh pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam (JAHEIK) & Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) agar kejadian sebegini tidak lagi berulang atau terlepas pandang. 

6. Dewan Muslimat PAS Negeri Kelantan (DMPNK) turut menggesa masyarakat supaya tidak menangguk di air yang keruh dengan menokok tambah kes ini dengan isu-isu yang tidak berkaitan sekaligus melakukan generalisasi terhadap semua kes perkahwinan di bawah umur. Hakim Mahkamah Syariah akan meneliti setiap kes dengan saksama mengikut pertimbangan agama dan undang-undang, latar belakang, kebajikan, serta faktor-faktor penting yang lain sebelum membenar atau tidak membenarkan permohonan perkahwinan remaja bawah umur. 

7. Dewan Muslimat PAS Negeri Kelantan (DMPNK) bersedia membantu & menyokong sebarang usaha membantu kanak-kanak terbabit samada untuk mendapatkan keadilan di sisi undang-undang sekaligus membantu beliau mendapatkan akses pendidikan yang lebih sempurna. Dewan Muslimat PAS Negeri Kelantan (DMPNK) percaya bahawa Mahkamah Syariah , JAHEIK , JKM dan jabatan - jabatan kerajaan yang lain mampu menyelesaikan perkara ini dengan baik.

8. Ianya bertepatan dengan Seminar Dasar Kanak-Kanak Fitrah (DSK) yang telah dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Kelantan pada 13 Mac 2018 , di mana di dalamnya terdapat tajuk khusus Bahagian ke 4 dalam topik Hak Kepada Kanak - Kanak iaitu "Hak Untuk Dilindungi". Mereka ' berhak dilindungi daripada diganggu dengan sewenang-wenangnya atau dengan apa-apa perbuatan yang menyalahi undang-undang terhadap privasi, keluarga, tempat tinggal atau surat-menyuratnya, atau penjejasan maruah dan nama baiknya.'

' Kanak-kanak juga perlu dilindungi daripada keganasan fizikal dan mental, kecederaan atau penderaan, pengabaian atau perlakuan cuai, penganiayaan atau eksploitasi, termasuk penderaan seksual, semasa dalam jagaan ibu bapa atau penjaga di sisi undang-undang atau mana-mana orang yang menjaga kanak-kanak itu. Langkah-langkah perlindungan ini hendaklah meliputi aspek perundangan, pentadbiran, sosial dan pendidikan.'

9. Oleh itu, Dewan Muslimat PAS Negeri Kelantan (DMPNK) mengharapkan penyelesaian bijaksana dapat dilakukan demi kebaikan semua pihak terutama sekali kepada masa depan kanak-kanak tersebut. 


YB Hajjah Siti Zailah Mohd Yusof
Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Kelantan
Ahli Parlimen Rantau Panjang


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo