NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Peranan Seri Paduka sebagai ketua agama - Pensyarah


Oleh: Prof Madya Dr Shamrahayu A Aziz

SAYA pernah menulis dalam ruangan ini pada 22 Jun lalu mengenai peranan Kerajaan Persekutuan berkaitan Islam.

Islam adalah urusan negeri, namun Kerajaan Persekutuan juga mempunyai tanggungjawab tertentu berkenaan agama berkenaan.

Saya sudah menyatakan pelbagai aspek tanggungjawab terbabit, termasuklah kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua agama bagi Wilayah Persekutuan. Baginda menggalas amanah itu berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.

Fokus tulisan saya pada kali ini ialah mengenai peranan, kuasa dan tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua agama di Wilayah-Wilayah Persekutuan.

Perkara 3(5) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan:"Walau apa pun apa-apa jua dalam Perlembagaan ini, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menjadi Ketua Agama Islam di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; dan bagi maksud ini, Parlimen boleh melalui undang-undang membuat peruntukan-peruntukan bagi mengawal selia hal ehwal agama Islam dan bagi menubuhkan suatu Majlis untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai perkara-perkara yang berhubungan dengan agama Islam."

Perkara 3(5) menyebut, tiga institusi berkaitan Islam di Wilayah Persekutuan: Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua agama Islam; Parlimen sebagai badan perundangan yang berhak membuat undang-undang berkaitan hal ehwal Islam dan Majlis Agama Islam, institusi yang dibuat oleh Parlimen melalui sebuah undang-undang untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong dalam perkara berkaitan Islam.

Menepati peruntukan Perlembagaan, Parlimen meluluskan Akta 505, iaitu Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993, mendapat tarikh persetujuan diraja pada 7 Julai 1993, diwartakan pada 15 Julai 1993 dan berkuat kuasa pada 15 Oktober 1993 melalui p.u.(b) 452/1993.

Seksyen 4(2) Akta 505 menyatakan, "Maka hendaklah ada satu badan yang dikenali sebagai "Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan" untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong dalam perkara-perkara yang berhubungan dengan agama Islam."


Peruntukan kuasa

Seksyen 31 Akta 505 memperuntukkan mengenai kuasa Majlis Agama Islam. Seksyen terbabit menyatakan: "Majlis hendaklah membantu dan menasihati Yang di-Pertuan Agong berkenaan dengan semua perkara yang berhubungan dengan agama Islam di dalam Wilayah-Wilayah Persekutuan, kecuali perkara-perkara hukum syarak dan yang berhubungan dengan pentadbiran keadilan, dan dalam semua perkara sedemikian hendaklah menjadi pihak berkuasa utama di dalam Wilayah-Wilayah Persekutuan selepas Yang di-Pertuan Agong, kecuali jika diperuntukkan selainnya dalam akta ini."

Seksyen 31 ini memberi kesan bahawa Majlis Agama Islam adalah institusi utama berkaitan Islam selepas Yang di-Pertuan Agong dan bertanggungjawab menasihati Yang di-Pertuan Agong dalam segala hal, kecuali hal berkaitan hukum syarak dan pentadbiran keadilan.

Hal berkaitan hukum syarak merujuk kepada tugasan pejabat mufti dan pentadbiran keadilan pula berkaitan Mahkamah Syariah.

Seksyen 31 menzahirkan tiga institusi besar berkaitan Islam di Wilayah Persekutuan, iaitu Majlis Agama Islam, Pejabat Mufti dan Mahkamah Syariah.

Ketiga-tiga institusi ini secara langsung berada di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong kerana semuanya adalah berkaitan hal ehwal Islam. Pejabat Mufti dan Mahkamah Syariah tidak dirangkum di bawah kuasa Majlis Agama Islam.


Kuasa budi bicara

Mengambil model kedudukan, kuasa dan peranan budi bicara raja di negeri sebagai ketua agama, Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa budi bicara mengenai hal ehwal Islam di Wilayah Persekutuan.

Apa juga tindakan atau pelaksanaan peranan baginda berkaitan Islam di Wilayah-Wilayah Persekutuan adalah tindakan mutlak baginda dalam bingkai kuasa budi bicara baginda.

Justeru, dalam pelaksanaan kuasa, peranan dan amanah sebagai ketua agama, baginda tidak seharusnya terikat dengan nasihat mana-mana pihak selain Majlis Agama Islam atau Pejabat Mufti atau Ketua Hakim Syarie dalam hal berkaitan bidang kuasa agensi terbabit.

Kedudukan Yang di-Pertuan Agong ini adalah sebagaimana juga kedudukan raja di negeri yang tidak terikat dengan nasihat Menteri Besar atau EXCO agama dalam hal ehwal Islam.

Berbeza dengan perlembagaan negeri, Perlembagaan Persekutuan tidak menyebut secara harfiah mengenai kuasa budi bicara ini.

Namun, pada tafsiran saya, hasrat Perlembagaan Persekutuan yang memasyhurkan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua agama Islam bagi Wilayah Persekutuan ialah juga memberikan kuasa budi bicara kepada Yang di-Pertuan Agong berkaitan Islam.

Mengambil pendekatan tafsiran konstruksi harmoni setiap peruntukan perlembagaan hendaklah difahami secara holistik dan harmoni.

Justeru, disebabkan urusan Islam adalah di bawah naungan Raja-Raja, maka segala kuasa, peranan dan tanggungjawab ketua agama, sama ada di negeri atau di Wilayah Persekutuan adalah bersifat budi bicara.

Selain itu, Kuala Lumpur dan Putrajaya asalnya sebahagian daripada Selangor yang mempunyai raja sebagai ketua agama.

Setelah masing-masing dibentuk sebagai Wilayah Persekutuan, ketua agama bagi wilayah berkenaan berpindah daripada Raja bagi negeri kepada Yang di-Pertuan Agong.

Perpindahan kuasa tidak seharusnya menyebabkan juga berpindahnya sifat kuasa terbabit, dari budi bicara kepada bertindak atas nasihat.

Walaupun tiada peruntukan harfiah dalam Perlembagaan Persekutuan, adalah munasabah dan tepat untuk mentafsirkan bahawa kuasa Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua agama Islam di Wilayah Persekutuan adalah dalam kerangka kuasa budi bicara dan bukannya bertindak atas nasihat.

Akta 505 membuat beberapa peruntukan mengenai peranan menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal agama untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong.

Akta menyatakan bahawa menteri menasihati Yang di-Pertuan Agong berkaitan lantikan Ahli Majlis Agama Islam (Seksyen 10).

Bagi lantikan mufti dan timbalannya (Seksyen 32) serta lantikan hakim Mahkamah Syariah (Seksyen 41, 42 dan 43), menteri menasihati Yang di-Pertuan Agong setelah berunding dengan Majlis Agama Islam.

Apabila Akta 505 ini memberi kuasa 'menasihat' kepada menteri, maka Yang di-Pertuan Agong adalah terikat dalam rangka doktrin bertindak mengikut nasihat.

Keadaan ini didapati tidak selaras dengan kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Agama Islam. Persoalan kebeperlembagaan seksyen berkaitan mungkin timbul di sini.

Adalah disarankan supaya semua lantikan perjawatan institusi Islam di Wilayah Persekutuan dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas kedudukan baginda sebagai ketua agama yang mempunyai kuasa budi bicara selaras Perkara 3(5) Perlembagaan Persekutuan.

Walau apa pun hujah saya di atas, Seksyen 10(2) Akta 505 memperuntukkan, lantikan pengerusi Majlis Agama Islam dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat menteri.

Apabila diteliti peruntukan undang-undang, adalah tidak tepat sekiranya seorang menteri menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai lantikan terbabit, sekali gus dilantik sebagai pengerusi Majlis Agama Islam.

Justeru, adalah dicadangkan supaya pengerusi Majlis Agama Islam hendaklah seorang yang lain, bukan menteri yang menasihati Yang di-Pertuan Agong.

Pelantikan menteri sebagai pengerusi Majlis Agama Islam akan membuka ruang kepada pertindihan kepentingan.


Penulis ialah Pensyarah Fakulti Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo