NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Penurunan Harga Terlalu Kecil – Menteri


Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata harga barangan dilihat kekal kerana penurunan harga hanya bermula dari 0.04 hingga 13 peratus dan melibatkan 70 peratus daripada 417 barangan basah, kering, keperluan bayi dan lain-lain.


"Sebenarnya kenaikan tidak berlaku tetapi jumlah penurunan harga barangan itu sangat kecil, ia tidak mencapai 30 hingga 40 peratus.


"Apabila kita semak aduan, terdapat dua kategori yang paling besar iaitu harga tidak berubah dan harga meningkat…daripada 10 aduan yang diterima lima daripadanya berkaitan makanan dan minuman di restoran, kedai makan serta medan selera," katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu Program Ruang Bicara terbitan Bernama News Channel.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan bekas menteri Tan Sri Rais Yatim serta beberapa persatuan pengguna mengenai aduan orang ramai iaitu tiada perubahan pada kebanyakan barangan selepas pelaksanaan GST pada kadar sifar.


Mengulas lanjut, Saifuddin berkata harga makanan dan minuman turun di premis restoran makanan segera, namun tidak di restoran India Muslim atau kedai 'mamak' yang masih mengekalkan, malah ada yang menaikkan harga.


"Jumlah kedai mamak itu agak besar bilangannya sebanyak 10 ribu restoran dan pegawai KPDNHEP membandingkan harga dengan restoran makanan segera dan ia menunjukkan penurunan agak ketara di restoran makanan segera tetapi tidak di kedai mamak.


"Memang berlaku rampasan dan sebagainya tetapi pegawai kita ambil pendekatan memberi nasihat dan amaran agar tidak diulangi sebelum tindakan undang-undang diambil kerana kita tidak mahu menjejaskan mata pencarian sesiapa tetapi jangan memangsakan pengguna," katanya. - BERNAMA


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo