NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Penggunaan AI di Malaysia masih rendah



KUALA LUMPUR 12 Julai – Penggunaan kepintaran buatan (AI) oleh syarikat di Malaysia masih rendah berbanding negara-ne­gara Asia Tenggara yang lain seperti Indonesia, Thailand dan Singapura, menurut kajian firma penyelidikan pasaran dan nasihat teknologi maklumat, IDC.

Naib Presiden ASEAN SAS, Andy Zook berkata, kebanyakan organisasi bimbang dengan kos penyelesaian yang tinggi selain meragui keupayaan AI.

Jelas beliau, jika dibandingkan dengan negara-negara Asia Utara, organisasi tempatan tidak begitu berminat untuk memiliki keupayaan AI sekali gus mengurangkan keupayaan mereka untuk memahami penyelesaian AI dalam mengukuhkan perniagaan.

"Organisasi mengakui bahawa AI dan analisis boleh membantu menyelesaikan masalah yang rumit. Bagaimanapun, untuk me­manfaatkan sepenuh­nya teknologi ini mereka perlu memiliki visi yang jelas bagi pelaburan data besar dan AI.

"Persoalan utama adalah bagaimana AI dapat menambah baik staf dan teknologi semasa untuk mendapat hasil perniagaan yang optimum. Dalam ekonomi digital AI dan analisis adalah pemacu kejayaan organi­sasi dan syarikat memerlukan haluan yang jelas daripada data kepada inovasi," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah Penyelidikan Global, Data Besar dan Analisis dan Kognitif AI IDC Asia dan Asia Pasifik, Chwee Kan Chua berkata, beberapa sektor antaranya perbankan, pengeluaran, penjagaan kesihatan dan kerajaan telah mendapat manfaat yang besar daripada penggunaan AI.

Menurut beliau, pelaburan dalam AI dijangka terus mening­kat apabila lebih ba­nyak organisasi mula memahami dan menyedari kepentingan teknologi itu kepada perniagaan mereka.

Katanya lagi, syarikat-syarikat yang tidak memasukkan elemen AI dalam operasi perniagaan akan ketinggalan berbanding pesaing mereka.

Contohnya lebih 80 peratus dari syarikat di China dan Korea Selatan berpendapat keupayaan AI adalah penting untuk kejayaan dan daya saing organisasi pada masa akan datang manakala kurang daripada 40 peratus syarikat di Singapura dan Malaysia mempunyai panda­ngan yang sama.




No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo