NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pendidik Bantah Saranan Zainuddin Tutup Sekolah Tahfiz



1.Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan(Pendidik) ingin melahirkan rasa kesal dan dukacita atas kenyataan Tan Sri Zainuddin Maidin yang mengeluarkan kenyataan agar menutup semua sekolah tahfiz yang didakwa tidak memberi masa depan kepada generasi baru umat Islam baru-baru ini.

2. Sebagai seorang yang beragama Islam,Tan Sri Zainudin Maidin seharusnya menyedari betapa tinggi nilainya sumbangan para huffaz sebagai aset dan modal insan negara yang cukup bernilai untuk berbakti kepada ummah ke arah pembangunan ukhurawi serta sahsiah yang murni dalam meraih mardhatillah (keredhaan Allah SWT).

3. Pendidik melihat cadangan Tan Sri Zainudin Maidin agar kerajaan menutup semua sekolah tahfiz yang didakwanya tidak memberi masa depan kepada generasi baru umat Islam adalah tidak berasas sama sekali.

4. Di saat Dasar Pendidikan Tahfiz Negara(DPTN) mahu direalisasikan secara optima untuk melonjakkan potensi generasi Al-Huffaz di Malaysia,kenyataan Tan Sri Zainuddin Maidin itu dilihat cukup mengecewakan,dan dilihat seperti mengundur 50 tahun ke belakang.

5. Dalam masa yang sama ,Pendidik berharap agar semua pengendali maahad pusat tahfiz atau mudir agar terus menjaga kualiti dan imej sekolah pondok dan pusat tahfiz kerana banyak mata yang memandang serta ramai yang dengki dan sentiasa ingin melihat pusat tahfiz terkubur ditelan zaman .Jadi,berhati -hatilah dalam menguruskannya dengan penuh tanggungjawab dan waspada selalu serta buat pemantauan sewajarnya demi menjaga imej serta kredibiliti pusat tahfiz ini dalam persada pendidikan negara.

6. Pendidik menegaskan penambaikan membabitkan institusi pendidikan tahfiz di Malaysia tidak memerlukan sehingga ke tahap sekolah berkenaan ditutup sebaliknya prasarana dan infrastruktur pusat tahfiz haruslah diperbaiki dari masa ke semasa di samping perlunya bantuan kewangan dari kerajaan,para dermawan dan NGO yang prihatin yang perlu disalurkan ,demi melihat kecemerlangan generasi Al-Huffaz terus dijaga dan dipelihara.

7. Jabatan Perdana Menteri Bahagian Hal Ehwal Agama dan semua agensi yang bertanggungjawab di setiap negeri perlu membantu dengan penuh amanah dari sudut kawal selia dan melihat apa sahaja keperluan yang seharusnya ada dalam pusat pendidikan tahfiz di seluruh Malaysia.

8. Kawal selia itu bermaksud sekolah tahfiz ini perlu berdaftar dan tidak boleh dibuat secara terasing daripada kerangka sistem pendidikan negara yang ditetapkan , namun janganlah karenah birokrasi yang melampau dikenakan sehingga membebankan pengusaha pusat tahfiz yang akhirnya merugikan masa depan generasi Al-Huffaz pada masa akan datang.

9. Kelangsungan generasi pelapis yang menghafaz 30 juzuk Al-Quran serta kepakaran mereka dalam bidang agama adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai Ummat Islam untuk terus menjaga kebajikannya dan menyalurkan apa juga sokongan melalui tindakan dan sokongan secara holistik ke arah pembangunan generasi Al-Huffaz beriman dan bertaqwa kepada ALLAH SWT agar negara kita sentiasa berada dalam keberkatan kerana memuliakan golongan ini.

10. Peranan golongan yang menghafaz Al-Quran terhadap masa depan negara serta kesinambungan generasi Al-Huffaz ini mesti dipertahankan oleh setiap orang yang mengaku dirinya sebagai Ummat Islam.

11. Golongan yang berusaha menjadi penghafaz 30 juzuk Al-Quran haruslah mendapat kedudukan istimewa dalam masyarakat dan bukannya dicemuh atau dipinggirkan.

12. Tindakan menarik balik apa jua peruntukan atau peruntukan perkapita terhadap institusi tahfiz ini akan dilihat sebagai tindakan yang zalim dan tidak berperi kemanusiaan .Inikan pula menutup terus pusat tahfiz seperti ini di negara kita .

13. Kita sedar bahawa bukan mudah untuk menghafaz 30 juzuk Al-Quran dan mendalami bidang ini untuk menjadi generasi Al-Huffaz .Ianya memerlukan kegigihan,keazaman yang tinggi dan yang penting keikhlasan tulus dari hati hanya untuk mengharap semata-mata redha dari ALLAH SWT .Justeru ,institusi pendidikan tahfiz perlu dibantu dalam pelbagai aspek secara holistik termasuk pelajarnya perlu diberikan biasiswa untuk melanjutkan pelajaran yang lebih tinggi dan bukannya mencadangkan agar ditutup sebagaimana kenyataan Tan Sri Zainuddin Maidin baru-baru ini.

*"Sejahtera Bersama Islam"*

NORMALA BINTI SUDIRMAN
Presiden Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (Pendidik).
9 Julai 2018 bersamaan 25 Syawal 1439H.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo