NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pemodenan Aset-Aset Pertahanan Negara Perlu Diteruskan


oleh: Tuan Muhammad Muzamil Muhammad Aris,
1. Kerajaan Malaysia melalui Dasar Pertahanan Negara telah memanifestasikan hasrat negara untuk mempertahankan kepentingan-kepentingan strategiknya dan memelihara keselamatan negara. Dasar pertahanan menggariskan tiga asas utama, iaitu kepentingan-kepentingan strategik negara, prinsip-prinsip pertahanan dan konsep pertahanan. Ia menekankan keperluan mengekalkan sekitaran kawasan kepentingan strategik negara yang stabil dan aman [1].
2. Dasar Pertahanan Negara semestinya menjadi satu keperluan kepada negara kita yang terletak di tengah-tengah di antara negara-negara Asia Tenggara yang mana mempunyai perairan yang luas dan mempunyai pintu sempadan di sebelah utara dan selatan. Ia termasuklah sempadan antara negara dan Indonesia di Sabah dan Sarawak.
3. Atas dasar itu, sejak mencapai kemerdekaan, kerajaan Malaysia telah meletakkan aset-aset pertahanan di semua tempat yang berpotensi menjadi sasaran oleh anasir-anasir yang mungkin mempunyai niat yang tidak baik terhadap kedaulatan negara. Kedaulatan negara setelah sekian lama dapat dilindungi bila mana aset-aset ini diposisikan bagi menunjukkan kesiapsiagaan lapisan pertahanan negara. 

4. Namun, menurut Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, aset pertahanan negara pada masa sekarang sangatlah memerlukan “pembaharuan segera”. Beliau berkata, isu ini akan dibawa kepada Kabinet untuk dipertimbangkan kerana pasukan keselamatan negara amat memerlukan peralatan ketenteraan yang moden dan canggih [2].

5. Kita memahami tanggungjawab sesebuah kerajaan untuk mengimbangi bajet tahunan negara dengan memberi peruntukan yang lebih besar kepada sektor-sektor penting seperti sektor pendidikan dan kesihatan. Mengikut Bajet 2018 yang dibentangkan pada tahun lepas, sebanyak RM17 bilion telah diluluskan untuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Namun, jumlah ini termasuklah kos pengurusan dan pentadbiran serta pembinaan rumah kediaman anggota ATM [3].

6. Untuk membuktikan betapa pentingnya aset pertahanan negara walaupun pada waktu aman, kita boleh merujuk kepada insiden pencerobohan oleh warga asing di Lahad Datu pada tahun 2013. Terdapat sebilangan anggota keselamatan yang terkorban dalam insiden ini yang berlaku di kala rakyat Malaysia merasakan kedaulatan negara tidak akan dicabar oleh anasir-anasir luar pada dekad ini.
7. Peranan yang telah dimainkan oleh kereta perisai, helikopter dan kapal perang yang digunakan ketika berhadapan dengan penceroboh Lahad Datu membuahkan hasil kerana ia telah hampir berjaya menghapuskan ancaman dengan kemudaratan sikit menimpa anggota keselamatan negara. Pada ketika inilah, segala aset telah diaturgerakkan bagi memastikan misi menghalang musuh dapat dilaksanakan dengan lancar. Amatlah mengecewakan jika ada anggota keselamatan kita terkorban hanya kerana kekurangan bahan persenjataan yang lengkap di sisi kita.

8. Insiden ini jelas menunjukkan bahawa aset pertahanan negara yang dimiliki oleh ATM sangatlah mempunyai peranan yang penting dalam sesuatu operasi ketenteraan dari sekecil-kecil aset seperti bom tangan sehingga sebesar-besar aset seperti kapal perang dan jet pejuang. Kerajaan Pakatan Harapan digesa untuk terus memberi perhatian yang serius dalam meningkatkan aset pertahanan pada zaman sekarang di mana musuh semakin bijak dan canggih peralatannya dalam usaha mereka untuk mengganggu keselamatan negara.


______
Tuan Muhammad Muzamil Muhammad Aris ialah Komandan Jabatan AMAL Malaysia (JAM) Pemuda PAS Batu]

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo