NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Selangor: Pemergian Ng Kehilangan Besar Kepada PH



SHAH ALAM – Pemergian Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balakong Eddie Ng Tien Chee yang maut dalam kemalangan awal pagi tadi, merupakan kehilangan amat besar buat Pakatan Harapan.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata kekosongan yang ditinggalkan oleh mendiang yang aktif dalam Pakatan Harapan Selangor menerusi Unit Tindak DAP pasti akan dirasai rakyat Selangor, terutamanya mereka di kawasan Balakong.

“Ng atau lebih dikenali sebagai Eddie Ng adalah ADUN yang berkhidmat dengan penuh dedikasi untuk penduduk Balakong serta komited mewakili suara mereka dalam Dewan Undangan Negeri Selangor sejak bergelar ADUN pada 2013.

“Dari awal saya mengenali mendiang, saudara Eddie tidak lekang dengan senyuman dan sentiasa sedia membantu sesiapa sahaja yang memerlukan pertolongan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata kehilangan ini adalah yang kedua dalam tempoh tidak sampai sebulan selepas pemergian ADUN Sungai Kandis Allahyarham Mat Shuhaimi Shafie pada 2 Julai lepas.

“Kedua-dua ADUN ini telah banyak memberi khidmat kepada rakyat dan negeri. Saya mengucapkan takziah kepada isteri, anak-anak dan keluarga mendiang saudara Eddie serta berharap mereka tabah menghadapi ujian ini,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira 12.30 tengah malam itu, mendiang yang memandu kenderaan jenis Nissan x-Trail dari arah Kuala Lumpur ke Kajang, maut selepas melanggar belakang sebuah lori di KM11.7 Lebuhraya Grand Saga.

Ng maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepala.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, 9 Mei lepas, ADUN DAP itu berjaya mengekalkan kerusi DUN Balakong untuk penggal kedua selepas menewaskan calon BN dan PAS dengan majoriti 35,538 undi. – BERNAMA

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo