PDRM: Setuju Pasukan Khas Dibubarkan - Musa Hassan



KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Musa Hassan bersetuju dengan pembubaran tiga pasukan khas di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha penstrukturan semula agensi penguatkuasa undang-undang itu dalam tempoh masa terdekat.

Pasukan yang bakal dibubarkan adalah Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING), Pasukan Tindakan Khas Anti Maksiat, Judi, dan Gangsterisme (STAGG) serta Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC).

Beliau berkata sebelum ini pun peranan pasukan elit Unit Tindak Khas (UTK) dan Komando VAT 69 (VAT 69) PDRM sudah memadai dalam tindakan intervensi dan operasi pencegahan jenayah.
"Sekarang ini saya lihat pasukan STING, STAGG dan STAFOC di bawah pengarah jabatan PDRM masing-masing dan KPN sendiri tidak tahu apa yang mereka buat.

Sebab itu saya setuju, ketiga-tiga pasukan berkenaan dibubarkan kerana KPN perlu tahu berapa banyak jumlah operasi yang dilakukan dalam negara ini," katanya dalam satu wawancara eksklusif bersama Bernama di sini, baru-baru ini.

"Tidak perlu ada pasukan elit pada setiap unit kerana jumlah keanggotaan PDRM tidak mencukupi dan pasukan elit ini juga diletakkan di bawah KPN," katanya lagi.

Musa berkata mana-mana pengarah jabatan PDRM yang hendak menggunakan dua pasukan elit ini perlu mendapatkan kebenaran daripada KPN.

Musa berkata waktu beliau menjadi KPN dahulu, kesemua pengarah jabatan PDRM perlu memberi taklimat kepadanya terhadap operasi yang dijalankan dan dengan itu beliau tahu akan operasi yang dijalankan pelbagai jabatan polis.

"Lagipun KPN perlu tahu kesemua operasi yang dijalankan oleh pengarah jabatan PDRM dalam negara ini.

Jadi kalau hendak gunakan pasukan elit, KPN kena berikan kelulusan kerana untuk apa mereka hendak guna pasukan elit?," katanya.

Menurutnya, pasukan elit hanya menunggu arahan KPN untuk melaksanakan operasi dan bukannya risikan.

Musa berkata sebagai contoh jika hendak membuat serbuan dadah, UTK dan VAT69 tidak terlibat dengan risikan tetapi hanya terlibat dengan pengoperasian PDRM.

"Kami hanya membawa kedua-dua pasukan berkenaan (UTK dan VAT69) apabila polis nampak ada bahaya orang yang kita hendak tahan itu mempunyai senjata api dan pada waktu itulah kena bawa pasukan elit," katanya.

Pada 26 Jun lepas, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan akan membubarkan beberapa pasukan siasatan khas PDRM sebagai sebahagian daripada penstrukturan semula entiti itu dalam waktu terdekat.

STAFOC dan STING mula beroperasi pada awal 2014 manakala pasukan STAGG pada penghujung tahun yang sama. – BERNAMA

Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget