NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Naifnya kita memahami UEC..



oleh: Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah

MENDAHULUI kerajaan pusat, kerajaan Negeri Sembilan turut mengikuti jejak Kerajaan Negeri Melaka mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC), menurut berita Bernama 13 Julai 2018. Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata, sekarang ini ramai anak-anak Melayu belajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di seluruh negara dan jika dinafikan UEC maka akhirnya anak-anak Melayu juga yang akan rugi.

Persoalan saya, faham atau tidak apa itu UEC? Apa kaitan antara SJKC dengan UEC? Berapa ramaikah pelajar Melayu yang mengambil UEC? Jawapan mudah, boleh dikatakan dikatakan hampir tiada. Jika ada pun bilangan teramat sedikit. UEC tidak ada kaitan dengan SJKC.

SJKC adalah Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina, operasinya sama seperti Sekolah Kebangsaan, cuma berbeza medium Bahasa. Mereka akan menduduki peperiksaan yang sama iaitu UPSR. Bezanya SJKC mempunyai 7 subjek, tambahan 2 subjek Cina. Manakala, SK ada 5 sahaja, tanpa kertas Bahasa Cina. Terdapat hampir 18 peratus sahaja pelajar Melayu di seluruh negara yang ada sekitar 1300 SJKC.

Perbezaan antara SJKC dengan SK adalah  hanya dalam subjek BM. Walaupun peperiksaan UPSR bagi subjek BM jatuh pada hari dan masa yang sama di SJKC dan SK, tetapi standard BM dua sekolah ini berbeza. Kertas BM di SJKC jauh lebih mudah berbanding dengan kertas BM di SK. Mana ada sistem sebegini dalam dunia ini

KPM telah tunduk kepada desakan Persatuan Cina Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong), agar standard BM SJKC hendaklah dipermudahkan berbanding dengan BM di SK. Alasannya jika subjek BM diselaraskan sama seperti BM di SK, ini akan menjejaskan prestasi pelajar Cina di SJKC kerana mereka terpaksa memberikan tumpuan yang lebih kepada subjek BM. Ini sudah tentu akan menjejaskan pembelajaran Bahasa Cina.

Pendek kata, persatuan Cina tersebut tidak mahu pelajar SJKC disusahkan dengan BM sehingga menyebabkan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Cina terbantut. Dalam kata lain, pelajar Cina tidak akan menjadi secina-cinanya jika terpaksa memberikan tumpuan kepada BM. Mereka akan menjadi Cina pisang, bukan Cina tulen.

Seperti yang saya katakan sebelum ini, warga Cina daripada China menggeleng kepala melihat bagaimana hebatnya proses pencinaan di Malaysia, berbanding dengan mereka yang memang asal usul Cina daripada China, pun tidak secina seperti Cina di Malaysia. Persatuan Cina tidak mahu melihat apa jua perkara yang boleh menghalang penguasaan Bahasa Cina kecina-cinanya.

Untuk lebih memahamkan Menteri Besar Negeri Sembilan dan Ketua Menteri Melaka, saya perturunkan  kategori sekolah Cina di Malaysia supaya berlapik ketika bercakap

Jenis Sekolah Cina di Malaysia
Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC)
Medium (Bahasa) Cina Cina Melayu
Silibus Dong Zong Kerajaan (KPM) Kerajaan (KPM)
Peperiksaaan UEC, disediakan oleh Dong Zong Kerajaan (KPM) Kerajaan (KPM)
Kategori Swasta Kerajaan (KPM) Kerajaan (KPM)
Yuran Persendirian + komuniti Bantuan Penuh/sebahagian jika tanah persendirian Bantuan penuh/sebahagian jika tanah persendirian
Jumlah 60+1 buah Lebih 1300 buah 78+3 buah

UEC adalah sijil Sekolah Swasta (SMPC) yang dikelolakan Dong Zong dan Jiao Zong (Dong Jiao Zong). Sijil ini langsung tidak ada kaitan dengan guru-guru KPM dan Lembaga Peperiksaan Malaysia. Pendek kata, sijil UEC dikelolakan sepenuhnya jawatankuasa mereka sendiri.
Lanjutan daripada kontroversi yang berpanjangan, Persatuan Cina ini minggu lalu tampil mengeluarkan kenyataan, susulan manifesto PH yang mahu mengiktiraf UEC.

Dong Jiao Zong menegaskan bahawa mereka menghormati kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Katanya, BM bukan sahaja merupakan mata pelajaran wajib bagi semua pelajar UEC, bahkan semua SMPC turut menubuhkan Kelab Bahasa Melayu untuk menggalakkan pembelajaran dan penguasaan bahasa Melayu di kalangan pelajar. Selain itu, mereka juga bekerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka untuk menganjurkan pertandingan forum pelajar yang khas untuk penyertaan pelajar-pelajar UEC sejak tahun 90-an dengan tujuan memupuk rasa cinta akan bahasa Melayu. Pelajar-pelajar UEC juga mengambil bahagian dalam pertandingan koir dan pertandingan esei anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka.

Saya cadangkan untuk membuktikan inisiatif yang telah dibuat oleh mereka, apa kata kita anjurkan pertandingan debat atau nyanyian dalam BM dalam kalangan semua sekolah di Malaysia. Kita lihat, boleh atau tidak pelajar UEC menang pertandingan. Saya amat yakin mereka akan kalah sebelum bertanding. Majoriti pelajar mereka amat pelat dalam BM. Jika adapun yang mendapat "A" BM, ia lebih kepada menghafal. Bila tiba komunikasi, boleh dikatakan kosong. Jika tidak percaya, kita boleh uji guru-guru UEC (SMPC) dan pemimpin-pemimpin Dong Jiao Zong itu bersekali, juga SJKC.

Saya amat yakin, sebutan seperti negara, akan menjadi negala, lori=loli, hidup-hilup, minyak=miyak, burung=bulung. Seperti yang saya coretkan sebelum ini, haiya…bulung-bulung telebang di angkase. Masih teringat jiran Cina saya menegur saya  bertanyakan ketika hari mengundi PRU14 baru-baru ini, sama ada saya sudah mengundi atau belum. Katanya: "talak pigi tulis". Itulah standard BM sebahagian bukan Melayu di negara kita setelah lebih 60 tahun merdeka.

Kenapa pengiktirafan UEC tergantung selama lebih 60 tahun ketika di bawah BN? Jawabnya sudah diketahui umum, persatuan Cina ini tidak mahu tunduk kepada syarat KPM iaitu pelajar UEC mesti mengambil BM peringkat SPM bersekali dan mendapat kredit bagi melayakkan mereka memasuki sektor kerajaan.

Untuk makluman, pelajar UEC ada mengambil BM, tetapi BM mengikut standard UEC, bukan datang daripada KPM. BM UEC jauh lebih mudah berbanding BM SPM. Malang sungguh negara ini, rakyatnya tidak mahu bersusah sedikit pun untuk menguasai bahasa negara. Tetapi mereka sanggup bersusah payah dan berhabis duit untuk memastikan mereka menjadi secina-cinanya.

Kasihan Melayu pelajar SPM, mereka perlu belajar setengah mati belajar BM, bahasa sendiri, untuk dapat kredit, tiba-tiba pelajar UEC tidak perlu ambil BM standard SPM, tetapi mengikut standard guru-guru Cina mereka.

Sebab itu, ingin saya ingatkan bukan soal 60 tahun atau berapa tahun UEC tidak diiktiraf di bawah BN, ini soal pembinaan negara bangsa. Bandingkan apakah Cina Malaysia setanding dengan Cina Indonesia (Indonesia Tionghua) yang menguasai sepenuhnya Bahasa Indonesia. Jangan pergi jauh, tanyalah Ahok, bekas Gabenor Jakarta yang sedang dipenjarakan hari ini.

Selain itu, syarat mudah KPM untuk sijil ini diiktiraf supaya silibus subjek sejarah hendaklah juga mengikut sibilus SPM. Tetapi persatuan ini berdegil. Mereka menggunakan silibus BM dan Sejarah mengikut citarasa mereka sendiri, tanpa mahu memenuhi piawaian KPM.

Mata pelajaran sejarah UEC mengandungi 57.36 peratus sejarah Malaysia dan 42.64 peratus sejarah dunia. Sedangkan subjek sejarah SPM yang hampir seratus peratus adalah sejarah Malaysia dan sedikit berkaitan Islam. Persatuan ini tidak mahu mengikut kehendak KPM kerana ada unsur Islam di situ dan mereka gantikan dengan sejarah dunia, termasuk sejarah asal usul negara nenek moyang mereka, negara China.

Memang tidak dinafikan, jika saya menjadi pemimpin PH, sewajarnya saya akan memenuhi janji manifesto untuk mengiktiraf UEC sebab ia adalah janji. Persoalannya, kenapa kita berjanji sesuatu yang boleh menggadaikan maruah agama bangsa dan negara dalam proses pembinaan negara.

Tidak ada negara di dunia ini yang sistem pendidikan pelik sebegini. Terbukti lebih Cina daripada Cina di negara China. Membina negara Cina dalam negara Malaysia. Membina negara dalam negara.

Dalam mempertahankan tindakannya, Persatuan Cina ini menolak dakwaan sukatan UEC diambil dari Taiwan. Sukatan pelajaran UEC katanya mematuhi dan selaras dengan sukatan pelajaran kebangsaan, setiap mata pelajaran UEC ditulis mengikut standard kurikulum dan garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dan juga merujuk kepada standard pendidikan peringkat menengah antarabangsa.

Persoalannya, kenapa tidak dipatuhi kehendak KPM yang menjaga sistem pendidikan di Malaysia. Kenapa berkeras sehingga ke hari ini? Kenapa UEC mesti dikelolakan oleh Jawatankuasa Kerja Sekolah-sekolah Menengah Cina (MICSS) dan wakil-wakil dari Dong Jiao Zong bukannya Lembaga Peperiksaan Malaysia.

Tidak dinafikan, memang asal-usul UEC berkiblatkan silibus Taiwan. Namun, setelah menjalani perubahan demi perubahan dalam proses pengiktirafan, silibus sudah mula berubah. Itupun kiblatnya masih lagi ke negara tersebut.

Orang Cina menganggap negara China sebagai "fatherland" dan Malaysia sebagai "motherland". UEC menjadikan Taiwan kiblat UEC kerana sebahagian besar pimpinan Dong Jiao Zong adalah Cina Hokkien. Mereka tidak memilih Fujian, China, kerana Pendidikan di sana ada kaitan dengan komunis Mao Ze Dong. Taiwan pula masih kekal dengan Pendidikan Cina ala Sun Yat Sen, Kuo Min Tang (KMT) yang amat disanjung ultra kiasu di Malaysia. Sebab itu, kerajaan Pulau Pinang, menubuhkan Pusat penyelidikan dan Muzium Sun Yat Sen. Inilah pembinaan negara dalam negara yang selalu saya perkatakan.

UEC mengambil pendekatan Taiwan disebabkan oleh geo politik Taiwan yang disokong sepenuhnya Amerika Syarikat untuk menentang China.  Sebab itu, Amerika Syarikat tidak ada masalah langsung untuk mengiktiraf pendidikan Taiwan termasuk 'adik'  Taiwan di Malaysia iaitu UEC. Semua orang tahu bahawa Amerika menggunakan Taiwan selepas China dikuasai sepenuhnya oleh komunis.

Untuk mekluman, sejarah Pendidikan Cina di Malaysia bermula apabila berlaku migrasi Cina ke Tanah Melayu dibawa oleh British. Ketika itu, semua buku teks, silibus, dan guru-guru memang daripada negara China (Taiwan). Apabila Penyata Razak 1956 dimuktamadkan, semua sekolah tidak boleh lagi berkiblatkan negara asal-usul. Medium semua sekolah menengah mesti dalam BM seperti yang dapat dilihat pada Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC). Kecuali sekolah rendah Cina (SJKC), yang menggunakan medium Bahasa Cina sepenuhnya bermula 1963.

Oleh kerana tidak dapat menggunakan medium Cina di peringkat menengah, pemimpin Cina yang keras kepala seperti Dong Zong dan Jiao Zong yang sejak dahulu mahu menubuhkan Universiti Merdeka, bertindak keluar daripada arus perdana menggunakan Bahasa ibunda diperingkat menengah walaupun tidak mendapat bantuan kerajaan sepenuhnya seperti sekolah Cina yang lain, kecuali secara one-off.

Namun, Sekolah Persendirian ini mendapat bantuan yang hebat daripada jutawan dan komuniti Cina. Sebab itu, ia mampu bertahan sehingga ke hari ini. Sudah tentu kemudahannya jauh lebih baik daripada sekolah kerajaan. Untuk makluman juga, sebenarnya UEC adalah contoh kecil. Kita sudah lama mengiktiraf penubuhan Universiti Merdeka yang mengunakan Bahasa Cina sepenuhnya seperti Kolej Universiti New Era di Kajang (dahulunya Kolej New Era).

Kolej ini beroperasi sepenuhnya dengan penuh Kecinaan di Kajang dan beberapa tempat lain di bawah kelolaan Dong Jiao Zong. Kenapa kita bising perkara ini. Ia telah berlaku sejak zaman BN lagi. Sebab itu, jangan terlalu menyalahkan PH, kerana semua ini telah bersarang sejak zaman BN kerana takutkan undi Cina lari kepada PH. Baca ucapan Najib Razak menjelang PRU14, ketika melancarkan manifesto BN pada 7 April 2018.

Warganegara yang memiliki sijil peperiksaan luar negara yang setara dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dengan kelayakan memasuki IPT dalam negara boleh dipertimbangkan untuk memasuki pengajian mana-mana IPT dengan syarat mempunyai kepujian dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia dan lulus mata pelajaran Sejarah – ini termasuklah isu tentang Unified Examination Certificate Senior Middle (UEC) ketika melancarkan manifesto parti BN (Norlaile Abdul Rahman, 2018).

Sebenarnya UEC telah pun diiktiraf secara tidak langsung. Sila rujuk laman MQA/KPT dan syarat-syarat kemasukan ke Universiti Awam. Tidak payahlah kita menjerit lagi.

Pelajar UEC pada masa sama boleh mengambil SPM jika mereka mahu. Persoalannya, tidak semua mengambil SPM. Rata-rata hanya mengambil UEC, inilah golongan persatuan Cina ini mahukan kerajaan mengiktiraf. Tahun lepas hampir 9000 pelajarnya mengambil SPM selain daripada UEC.

Praktis ini menyamai apa yang dilakukan oleh Sekolah Menengah Persendirian Chong Hwa Kuantan. Perkara ini tidak disukai oleh Dong Zong dan pernah menimbulkan kontroversi sesama mereka. Sebab itu saya sarankan, jika persatuan Cina mahukan UEC diiktiraf, pelajar mereka mesti mengambil kedua peperiksaan ini bersekali. Bersusah sedikit untuk negara. Pastikan mereka mendapat kredit dalam SPM. Jika mereka gagal dan tidak mendapat kredit, sijil ini tidak wajar diiktiraf.

Persatuan Cina ini dikatakan 'sangat bimbang' dengan bilangan SJKC yang didakwa semakin menurun daripada 1346 buah pada 1970 kepada 1298 pada 2016. Begitu juga sekolah Tamil (SJKT) ada  657 buah pada 1970, kepada 524 buah tahun 2016.

Berbanding SK yang menunjukkan peningkatan yang drastik, daripada 4277 pada 1970 kepada 5877 pada tahun 2016. Kenapa persatuan Cina ini perlu hairan dengan peningkatan Sekolah aliran kebangsaan seperti SK. Wajarkah SK bertambah sebab ini sekolah arus perdana kebangsaan, mendaulatkan BM.

Peliknya, Persatuan Cina tidak pula beritahu kenapa SJKC ada yang ditutup. Ada SJKC yang terpaksa ditutup kerana tiada murid Cina lagi. Bayangkan di Hulu Langat, Kawasan tanah rizab Melayu, ada sebuah sekolah Cina bernama SJKC Choon Hwa, Batu 18, hanya ada 23 murid. Satu murid Cina, selebihnya murid Melayu. Itupun masih beroperasi hari ini dan tidak dibenarkan tutup kerana bantahan Persatuan Cina ini. Apa lagi sebenanrya yang persatuan Cina ini mahu?

Sehingga kini belum ada kenyataan rasmi berapa ramai pelajar Cina di SJKC, SMJKC, dan pelajar UEC yang gagal BM. Keputusan ini sengaja didiamkan kerana mereka tidak mahu publisiti buruk merundungi mereka. Hebat atau tidak strategi mereka. Masih buta? Adakah persatuan cina mahukan bilangan sama rata dan sama rasa? Perkara yang menguntung mereka akan didiamkan. Perkara yang merugikan dihebohkan seolah-olah hampir kiamat dibuatnya.

Saya fikir sudah sampai masanya Tan Sri Muhyiddin Yasin, bekas TPM dan Menteri Pendidikan, kini adalah Menteri dalam Negeri, bersuara. Kenapa dan mengapa UEC tidak diiktiraf semasa beliau memegang amanah tersebut. Saya amat yakin Tan Sri ada jawapannya tersendiri.

Sebenarnya persatuan Cina ini mahu membina lebih banyak lagi sekolah persendirian (UEC) tetapi tidak mendapat kebenaran, meskipun permintaan daripada orang Cina tersangat tinggi, berbanding dengan sekolah antarabangsa yang dibenarkan beroperasi ibarat cendawan selepas hujan.

Sekolah Persendirian ini hanya mampu menampung hampir 90 ribu pelajar Cina setakat ini. Manakala hampir 110 ribu di SMJKC. Persatuan ini turut bimbang dengan penurunan pelajar-pelajar Cina di SJKC sejak kebelakangan ini disebabkan oleh kadar kelahiran yang rendah yang dipraktikkan oleh majoriti orang Cina. Untuk makluman, sehingga kini terdapat lebih 2 juta pelajar di SK, lebih 500 ribu dan SJKC dan lebih 81 ribu di SJKT.

Setakat ini UEC telah diiktiraf oleh kerajaan Sarawak untuk memasuki perkhidmatan kerajaan negeri. Polisi ini masih tidak terpakai untuk memasuki Universiti Malaysia Sarawak kerana ia di bawah KPM. Berbeza pula dengan Universiti Selangor (UNISEL), mereka telah menerima pelajar UEC. Kerajaan Pulau Pinang telah mengambil pelajar UEC untuk memasuki perkhidmatan anak syarikat kerajaan. Langkah kerajaan Melaka dan Negeri Sembilan sudah tentu akan merancakkan lagi politik caca-merba pendidikan kita. Di sini kata boleh, di sana kata tidak. Kita mengamalkan sistem persekutuan, negeri-negeri di bawah persekutuan, persoalannya sejauhmanakah sistem ini berjalan dan dipatuhi?

Akhirnya, saya turut merayu kepada kerajaan hari ini supaya turut memantau lambakan Sekolah Antarabangsa yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai medium hari ini. Silibus subjek sejarah turut tidak terkawal. Inilah juga yang menjadi hujah kuat mereka yang pro UEC, kenapa kerajaan melakukan sikap 'double standard' terhadap mereka, sedangkan sekolah antarabangsa dibiarkan beroperasi bebas dan pada masa sama mengenepikan BM dan menggunakan silibus sejarah mereka sendiri. Semua sekolah ini berada di bumi mana? Di Malaysia atau bukan? Renung-renungkan.  

Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah ialah Profesor Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan (FUPL)Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo