NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Mungkinkah PAS dan UMNO bekerjasama?



PADA 9 Julai lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat pengumuman mengenai hari pengundian PRK Dun Sungai Kandis yang ditetapkan pada tanggal 4 Ogos manakala hari penamaan calon pula jatuh pada 21 Julai ini.

Pengumuman oleh SPR tersebut dibuat susulan daripada kematian penyandang kerusi berkenaan, Mat Shuhaimi Shafiei yang meninggal dunia pada 2 Julai lalu akibat penyakit kanser limfoma.

Di samping itu juga, SPR turut memaklumkan bahawa pihaknya melakukan beberapa penambahbaikan seperti menambah jumlah saluran serta masa mengundi, termasuk membenarkan mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau badan-badan yang berminat untuk menjadi pemerhati sepanjang proses pengundian.

Penambahbaikan yang dibawa oleh SPR ini ternyata mendapat maklum balas positif daripada kalangan NGO yang aktif dalam proses pilihan raya di negara ini.

Sebagai contoh, Pemangku Pengerusi Bersih 2.0, Shahrul Aman Mohd Saari dalam kenyataannya berkata, ia merupakan kali pertama pemerhati NGO dibenarkan memasuki pusat pengundian bagi memantau proses semasa tempoh tersebut.

Susulan pengumuman SPR itu juga, kepimpinan parti-parti politik di peringkat negeri Selangor pastinya sudah memulakan persiapan bagi ‘bertempur’ sekali lagi selepas berlangsungnya PRU14 pada 9 Mei lalu.

Pastinya terdapat beberapa perancangan dan polemik menarik dapat dilihat sepanjang PRK kali ini khususnya selepas kemenangan mengejut Pakatan Harapan yang berjaya mentadbir beberapa kubu kuat Umno-BN.

Timbalan Presiden Umno yang baharu, Datuk Mohamad Hasan sebelum ini turut melontarkan pandangan agar Umno bertanding menggunakan logo sendiri pada PRK Sungai Kandis bagi melihat sejauh mana penerimaan rakyat terhadap parti Melayu itu selepas tewas kepada Harapan dalam PRU14 lalu.

Selain itu, terdapat juga cakap-cakap yang mengatakan wujudnya konsensus antara Pas dan Umno dalam PRK kali ini bagi bersama-sama menghadapi Harapan yang merupakan penyandang bagi kerusi tersebut.

Dakwaan tersebut dilihat semakin tepat apabila Pas sebelum ini dilapor memaklumkan bahawa parti Islam itu akan mengumumkan sama ada bertanding atau tidak pada PRK Sungai Kandis selepas mengadakan perbincangan dengan Umno.

Malah, Presiden baharu Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut memaklumkan bahawa parti itu dan komponen dalam BN akan melakukan perbincangan bersama Pas untuk meletakkan hanya satu calon mewakili pembangkang.

Siri kenyataan daripada dua pemimpin parti ini memperlihatkan bahawa konsensus atau kerjasama antara pihak ini mungkin wujud bagi menewaskan Harapan pada kali ini.

Namun, benarkah kerjasama itu dapat direalisasikan atau pun ia hanyalah sekadar retorik politik?

Mengulas perkara tersebut, Dekan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Ahmad Marthada memaklumkan bahawa berdasarkan kepada perhubungan pemimpin Umno-Pas yang semakin mesra pada masa ini sebagai pembangkang, kedua-dua parti itu berkemungkinan dapat mencari kesepakatan dalam meletakkan hanya satu calon di kerusi berkenaan.

Beliau berkata, kerjasama antara kedua-dua pihak itu tidak mustahil berlaku berikutan ia merupakan satu langkah alternatif bagi pembangkang untuk memperoleh kemenangan di kerusi tersebut.

“Dalam keadaan hari ini, BN bukan lagi satu simbol meyakinkan jadi Umno perlu bekerjasama dengan Pas untuk hanya meletakkan satu calon sahaja.

“Namun begitu, Harapan pastinya sudah membuat perancangan yang tertentu bagi menghadapi perkara ini tambahan pula mereka merupakan goverment of the day pada masa kini,” katanya.

Mengulas kemampuan Harapan untuk mengekalkan Dun Sungai Kandis yang dimenangi PRU14, 9 Mei lalu, Marthada memaklumkan bahawa kerusi itu tidak semestinya 100 peratus menjadi milik gabungan berkenaan susulan daripada tindakan pembangkang yang memainkan pelbagai isu bagi mempengaruhi masyarakat.

Tambahan pula, Marthada berkata, kawasan itu juga terdiri daripada 85 peratus penduduk Melayu Islam dan pastinya tindakan tersebut sedikit sebanyak akan memberi kesan dan melemahkan Harapan.

Namun begitu, walau apa pun perancangan atau strategi yang diguna pakai oleh setiap parti dalam PRK Sungai Kandis kali ini, tumpuan rakyat pastinya lebih kepada kemampuan Umno dan Pas untuk bangkit semula di Selangor selepas mengalami kekalahan teruk dalam PRU14 lalu.

Pastinya terdapat formula tertentu yang akan diambil kira oleh Umno pada kali ini namun perbincangan yang teliti perlu dilakukan bagi memastikan penerimaan rakyat terhadap calon dan manifesto yang ditawarkan.

Bagi Harapan pula, mereka sudah semestinya mahu mengekalkan kemenangan di kerusi tersebut selepas memperoleh kemenangan bergaya pada PRU14 lalu dengan majoriti sebanyak 12,480 undi.

Namun begitu, isu berbangkit seperti perebutan calon serta pemilihan anak tempatan untuk bertanding di kerusi itu perlu diatasi segera oleh kepimpinan parti bagi menggelakkan isu itu menjadi ‘barah’ dalam Harapan.

Selain itu, Harapan juga perlu bersedia untuk menangkis tohmahan mahupun isu-isu yang dapat mempengaruhi undian rakyat terhadap gabungan tersebut.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo