NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

MIC pilih Presiden baru pada 29 Julai



MIC pada suatu ketika pernah menjadi sebuah parti yang kuat mewakili masyarakat India sejak ia ditubuhkan pada tahun 1946.

Bagaimanapun sejak Pilihan Raya Umum 2008, nasib parti itu berubah dengan kekalahan presidennya yang paling lama berkuasa, Tun S Samy Vellu.

Pada PRU14, MIC hanya memiliki dua kerusi parlimen dan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala presidennya, Datuk Seri Dr S Subramaniam dan timbalannya, Datuk Seri SK Devamany tewas.

Daripada menjadi sebahagian parti pemerintah, MIC kini terpaksa akur dengan peranannya yang baru sebagai sebuah parti pembangkang.

Pada 29 Julai ini, perwakilan MIC akan memilih presiden mereka, beberapa bulan lebih awal daripada tarikh yang dirancang pada bulan Oktober.

Sumber parti itu memberitahu Malaysiakini bahawa calon-calon presiden akan diumumkan pada 14 Julai.

Difahamkan senator Dewan Negara, Datuk Seri SA Vigneswaran merupakan calon tunggal bagi mengisi jawatan itu berikutan keputusan Datuk Seri Dr S Subramaniam untuk tidak mempertahankan jawatannya.

Menurut sumber, anggota jawatankuasa pusat MIC yang juga Anggota Parlimen Tapah, Datuk M Saravanan pula akan menyasarkan jawatan timbalan presiden bagi menentang penyandangnya, Datuk K Devamany.

Pemilihan jawatan tertinggi lain dalam parti itu akan diadakan pada bulan Oktober.

Pada pemilihan sebelum ini, Saravanan tewas kepada Devamany bagi jawatan nombor dua dalam parti itu.

Berikutan prestasi buruk MIC pada PRU 9 Mei lalu Subramaniam mengumumkan beliau tidak akan bertanding bagi memberi laluan kepada pemimpin baru.

"Saya berharap dalam pemilihan parti ini, lebih banyak (ahli) generasi muda akan mengambil bahagian dalam parti," katanya.

MIC seperti parti-parti komponen lain dalam BN iaitu Umno dan MCA, kini sedang bergelut untuk terus kekal relevan dalam landskap politik negara,

Selepas enam dekad, BN kini hanya memiliki tiga parti komponen daripada 13 parti yang pernah menyertai gabungan itu.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo