Tasik Kenyir: Lapangan Terbang Pelancongan Satu Harapan


Oleh : Suhaimi Taib

Hulu Terengganu – Kerajaan Negeri perlu meneliti beberapa perkara bagi membangunkan Tasik Kenyir sebagai hub pelancongan terbesar di Malaysia.Yang pertama perlunya Kerajaan Negeri dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan mewujudkan satu lapangan berorientasikan pelancongan supaya kemudahan pelancong luar Terengganu berkunjung ke Tasik Kenyir di sini.

Kemudahan lapangan terbang ini walaupun tidak bertaraf antarabangsa, lapangan terbang berorientasikan pelancongan perlu direka khas sesuai tasik ini sebagai hub pelancongan (ekotorisme).
Ia merupakan satu lagi mercu tanda pelancongan negara jika ia benar-benar dapat direalisasikan kerana lapangan terbang seumpama itu adalah yang pertama di Malaysia.

Walaupun kosnya mungkin menelan belanja yang besar untuk membina dan menyelenggarakannya setelah siap, namun usaha itu memberi impak positif untuk majukan Tasik Kenyir antara hub pelancongan terbesar negara umumnya dan bagi negeri Terengganu khususnya.

Ianya boleh menjimatkan kos pengangkutan para pengunjung dari luar Terengganu termasuk menjimatkan masa mereka untuk sampai ke tasik berkenaan.

Bagi pengunjung domestik, banyak jalan raya alternatif disediakan kerajaan bagi tujuan tersebut dari pelbagai daerah dari seluruh Terengganu termasuk dari Besut, Kuala Nerus, Setiu, Marang, Kuala Terengganu, Kemaman, Dungun dan Hulu Terengganu.

Tasik Kenyir adalah terletak di daerah Hulu Terengganu. Dari segi perhubungan jalan raya ia tidak menimbulkan masalah kerana pengunjung domestik dari daerah itu, mereka sudah biasa dengan jalan raya di sekitar tasik berkenaan.

Pengunjung dari Kemaman dan Dungun boleh menggunakan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2) untuk sampai ke Tasik Kenyir.

Manakala pengunjung dari Besut dan Setiu boleh melalui jalan biasa membelok ke Felda Sungai Tong untuk ke Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir.

Begitu juga pengunjung dari Kelantan khususnya dari Gua Musang boleh melalui jalan Felda Aring terus ke Pengkalan Gawi.

Manakala pengunjung dari Marang boleh menyusur jalan susur tepi LPT 2 melalui Ajil atau Kampung Mak Kemas.

Sementara pengunjung dari Kuala Terengganu dan Kuala Nerus boleh melalui jalan ke Sungai Tong dan Kuala Berang untuk ke situ di samping jalan susur LPT2 itu.

Bagaimanapun suatu yang menjadi kemusykilan pengunjung dan pemain-pemain industri pelancongan di tasik tersebut ialah masalah tidak adanya kemudahanvstesen minyak untuk membekal bahan api kepada pengusaha-pengusaha rumah bot “House Boat” yang beroperasi sekitar 100 buah di pusat pelancongan berkenaan.

Difahamkan pihak Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) sebagai pengurus utama kawasan pelancongan ini sudah membuat permohonan kepada beberapa syarikat besar stesen minyak, dengan menggariskan sebab-sebab yang menasabah untuk menjastifikasikan perlunya wujud sekurang-kurangnya sebuah stesen minyak petrol dan diesel di kawasan itu.

Namun difahamkan permohonan tersebut ditolak dengan alasan-alasan tertentu yang tidak dimaklumkan.

Bagi menyelesaikan masalah ini kerajaan negeri perlu campurtangan dan mengadakan perbincangan dengan pemain industri minyak, contohnya dengan PETRONAS agar menyegerakan pembinaan sebuah stesen minyak di situ bagi keperluan dan kemudahan mereka terbabit.

Lapangan terbang pelancongan ini juga sebagai ‘input’ untuk mendorong lebih ramai pengunjung berkunjung ke Tasik Kenyir.

Kemudahan ‘output’ pula ialah kemudahan pengangkutan air, prasarana, tempat dan program-program menarik di pulau-pulau berjumlah kira-kira 340 buah di tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara.

Zon bebas cukai di Pulau Bayas adalah salah satu ‘output’ terbaik untuk menarik kedatangan pelancong ke Tasik Kenyir.

Fokus utama zon bebas cukai ialah Pulau Bayas yang dalam pembinaan dan sudah siap hampir 74 peratus namun beberapa perkara perlu diambil kira oleh kerajaan negeri untuk meneruskan projek ini termasuk kos tambahan, denda kelewatan perlaksanaan projek dan keuntungannya kepada ekonomi rakyat dan negeri.

Kerajaan Negeri perlu memantau dan mendorong syarikat pengendali projek menjalankan kerja penyiapan dengan mengambil faktor keselamatan dan permohonan peruntukan tambahan menasabah supaya kewangan negeri ini dibelanjakan sebaik mungkin.

Difahamkan kerajaan sebelum ini tidak membuat kajian terperinci untuk melaksanakan sesuatu projek termasuk masalah air pasang dan surut di tasik.

Ada pembangunan dibuat tidak mengikut ekosistem tasik termasuk faktor pasang dan surut air tasik menyebabkan kawasan berkenaan dinaiki air dan kerja-kerja pembinaan tidak dapat dijalankan.

Dimaklumkan bahawa dalam tahun 2014 air pasang besar berlaku sehingga mencecah 146 meter dari paras laut menyebabkan kawasan pembinaan ditenggelami air.

Pembinaan terpaksa ditangguhkan beberapa bulan sebelum air surut. Sepatutnya kajian ini dibuat terlebih dahulu untuk menjimatkan wang kerajaan negeri dan tempoh siap projek dibuat dengan tepat.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri, Haji Ariffin Deraman dan rombongannya telah diberi taklimat mengenai permasalah ini ketika mengadakan lawatan Tasik Kenyir, 14 dan 15 Julai.

Beliau akan membawa permasalahan tersebut ke pengetahuan Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar tidak lama lagi.
Labels:
Reactions:

Post a Comment

[blogger]

1Media.My

{facebook#facebook.com/1mediaonline} {twitter#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {google-plus#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {pinterest#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {youtube#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL} {instagram#YOUR_SOCIAL_PROFILE_URL}

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.
Javascript DisablePlease Enable Javascript To See All Widget