NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kontroversi ICCPR


Penegasan pertama YB Datuk Saifuddin Abdullah selepas menjawat jawatan sebagai Menteri Luar Malaysia secara rasmi pada 2 Julai 2018 adalah komitmen kerajaan untuk meratifikasi baki enam lagi Konvensyen Antarabangsa Hak Asasi Manusia yang masih tertangguh sejak 1965. Sebelum ini, beliau juga pernah menyatakan komitmen yang sama ketika berperanan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Global Moderates Movement (GMM) setelah mengadakan perbincangan bersama kumpulan Pertubuhan Promosi Hak Asasi Manusia (PROHAM) yang dipengerusikan oleh Tan Sri Simon Sipaun pada bulan Disember 2013 di Kuala Lumpur.

Kini, Malaysia hampir pasti untuk meratifikasikan semua konvensyen tersebut ketika (atau lebih awal) proses Semakan Berkala Sejagat (Universal Periodic Review) Sesi Ke-31 yang dijadual akan diadakan pada 8 November 2018 di Geneva, Switzerland. Baki enam lagi konvensyen yang belum diratifikasi ialah Covention against Torture and Other Cruel Inhuman or Degrading Treatment or Punishment (CAT), International Covenant on Civil and Political Rights (ICCPR), Convention for the Protection of All Persons from Enforced Disappearance (CED), International Convention on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination (CERD), International Covenant on Economics, Social and Culture Rights (CESCR) dan International Convention on the Protection of the Rights of All Migrant Workers and Members of Their Families (CMW). Tiga lagi konvensyen telah diratifikasikan oleh Malaysia sekitar tahun 1995 hingga 2012.

Fokus artikel ini adalah berkaitan dengan Perkara 18 International Covenant on Civil and Political Rights (ICCPR), tuntutan The Coalition of Malaysian NGOs (COMANGO), pendirian Muslim NGOs in the UPR Process (MuslimUPRo), manifesto dan iltizam politik Pakatan Harapan. Selain itu, ia turut menyentuh beberapa isu pertimbangan perundangan, realiti politik Hak Asasi Manusia di Malaysia dan konsep Hak Asasi Manusia menurut perspektif Syari’ah Islam. Perbahasan ini diharap memberikan beberapa input penting termasuk mengemukakan poin cadangan reservations untuk dipertimbangkan sebelum meratifikasikan konvensyen tersebut.

ICCPR dan Peruntukan Kontroversi

Pada 1 Januari 1942, seramai 26 perwakilan daripada negara-negara Bersekutu antaranya Great Britain, Amerika Syarikat, Perancis, Kesatuan Soviet dan China telah mengadakan satu rundingan di Washington untuk berikrar menyatakan sokongan terhadap Atlantic Charter. Rundingan tersebut berakhir dengan menandatangani Declaration of United Nations. Ia merupakan penggunaan secara rasmi istilah ‘United Nations’ yang telah dicadangkan oleh Presiden Amerika Syarikat Franklin Delano Roosevelt. Tiga tahun kemudian, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau PBB (UN) ditubuhkan secara rasmi apabila Piagam PBB telah diratifikasi pada 24 Oktober 1945.

Piagam PBB telah memberi mandat kepada Majlis Ekonomi dan Sosial untuk menubuhkan suruhanjaya yang bertindak untuk mempromosi hak asas manusia. Akhirnya United Nations Human Rights Commission dibentuk. Suruhanjaya tersebut telah menggagaskan Deklarasi Sejagat Hak-Hak Asasi Manusia dan telah diterima oleh PBB pada 10 Disember 1948. Ia telah menjadi satu dokumen utama yang telah menggariskan 30 hak-hak fundamental bagi seorang individu dalam sebuah negara demokrasi. Deklarasi ini telah disebarkan ke seluruh dunia sehingga dianggap sebagai satu kontrak jaminan yang mengikat antara pihak kerajaan dan warganegara.

Suruhanjaya Hak-Hak Asasi Manusia telah menerbitkan dua dokumen utama. Pertama ialah International Covenant on Civil and Political Rights (ICCPR) yang banyak memfokuskan kepada hak-hak manusia seperti berekspresi, kebebasan menganut agama, tidak dibenarkan untuk mendera dan diperhambakan. Kedua, International Covenant on Economic, Social and Cultural Rights (ICESCR) yang lebih menekankan aspek kesihatan, makanan, perlindungan dan pendidikan. Dokumen mulilateral ICCPR telah diperakui secara rasmi dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa2 Bersatu pada 19 Disember 1966.

Terdapat satu peruntukan dalam ICCPR yang perlu diberikan perhatian yang serius iaitu Perkara 18.1 yang menyatakan, “Everyone shall have the right to freedom of thought, conscience and religion. This right shall include freedom to have or not to adopt a religion or belief of his choice, and freedom, either individually or in community with others and in public or private, to manifest his religion or belief in worship, observance, practice and teaching.Sehubungan dengan ini, Jawatankuasa Hak-Hak Asasi Manusia PBB pada tahun 1993 telah mengeluarkan satu komentar autoritatif mengenai Perkara 18 ICCPR yang merujuk secara khusus dasar kerajaan Mesir yang berkaitan dengan implikasi identiti agama, negara dan hak asasi manusia.

Poin penting yang terdapat dalam komentar tersebut adalah, “the freedom to have or to adopt a religion includes the right to replace one’s current religion or belief with another”. Setelah kerajaan Mesir meratifikasi ICCPR, mereka telah melampirkan satu ‘reservation’ yang menyatakan, “it would comply with the Covenant’s provisions to the extent that they do not conflict with Shariah”. Sebagai respon, pihak pula PBB membidas dengan menyatakan, “states ratifying the ICCPR may not make reservations that are incompatible with the object and purpose of the treaty. Reservations that offend peremptory norms would not be compatible with the object and purpose of the Covenant”.

Berdasarkan kes tersebut, siapakah pihak yang lebih ‘superior’ dalam menentukan keabsahan hak asasi manusia bagi seorang individu dalam negaranya? Tambahan pula, Perkara 28 ICCPR juga memberikan peruntukan untuk menubuhkan satu Jawatankuasa Hak-Hak Asasi Manusia PBB yang dianggotai oleh 18 orang pakar bagi memastikan semua negara yang telah meratifikasi konvensyen patuh terhadap terma-terma yang telah ditetapkan. Jawatankuasa ini juga boleh bertindak untuk menyiasat sekiranya berlaku pencabulan terhadap hak asasi manusia, mengeluarkan laporan khas serta memberi tekanan kepada negara untuk mengambil solusi bagi pemasalahan tersebut.

ICCPR dan COMANGO

Khusus kepada perbahasan Perkara 18 ICCPR dalam artikel ini, pihak The Coalition of Malaysian NGOs in the UPR Process (COMANGO) telah menerbitkan satu laporan khas yang bertajuk, “Malaysia’s 2016 UPR Mid Term Review”. COMANGO telah memberikan enam gesaan khusus yang berkaitan dengan Freedom of Religion, antara gesaannya adalah, “revise Malaysia’s legislative framework in order to ensure freedom of religion or belief for all”. Mereka juga turut mendesak supaya, “take measures to ensure all persons, including Muslims, can freely exercise their right to freedom of religion and belief, without interference by the state and including the right to change their religion”.

Berdasarkan penilaian COMANGO, beberapa kes yang berlaku melibatkan umat Islam, kawalan moral dan tindakan jabatan agama Islam adalah satu diskriminasi terhadap kebebasan seorang untuk mengamalkan kepercayaan mereka. Sebagai contoh, COMANGO mengkritik pengharaman Syi’ah, Ahmadiyah dan ajaran Millah Ibrahim sebaliknya mahukan supaya negara ‘mengiktiraf’ mereka sebagai satu mazhab yang berbeza daripada Ahli Sunnah. Pihak COMANGO juga mempertikai JAKIM dan majlis agama Islam yang menggunakan khutbah Jumaat untuk mengecam aliran liberalisme, pluralisme dan feminisme.

Bagi jurisdiksi Perkara 121 (1A) dan Senarai Negeri, Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan, mereka turut mempersoalkan penghakiman Mahkamah Syariah yang ‘extending and creeping’ Persekutuan. Tidak keterlaluan jika menganggap bahawa penjenayahan dalam Syari’ah tidak boleh didakwa kerana ia bercanggah dengan kebebasan individu yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan. Hal ini diperkukuhkan dengan beberapa kes-kes yang dianggap tidak relevan dan mengamalkan diskriminasi seperti kes transgender di Negeri Sembilan yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan pada bulan November 2015, kes tangkapan khalwat di Kuala Terengganu dan kes pengamalan ajaran sesat.

ICCPR dan Pakatan Harapan

Janji Ke-26 Manifesto Pakatan Harapan telah beriltizam untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang mempunyai rekod hak asasi yang dihormati di dunia. Bagi merealisasikan janji tersebut, konvensyen-konvensyen antarabangsa yang sesuai tetapi belum diratifikasi akan segera diratifikasikan termasuklah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Hak Politik dan Sivil (ICCPR). Perkara ini telah diulangi oleh Menteri Luar Malaysia yang juga merupakan Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan sepertimana yang dilaporkan oleh The Star bertarikh 2 Julai 2018, “As stated in our (Pakatan Harapan) manifesto, we aspire to sign all the international human rights conventions. There are nine conventions, of which we have only ratified three”.

Sekiranya diamati pandangan beliau sejak tahun 2015 ketika mengemudi Global Moderates Movement (GMM), beliau seorang yang prihatin terhadap isu kebebasan beragama. Pada 30 Mac 2015, beliau telah menulis dalam blognya yang bertajuk, “Menjamin Kebebasan Beragama”. Beliau menyatakan, GMM menyokong Kumpulan Kerja Hak Asasi Manusia (HRWG) dan Gabungan NGO Indonesia Untuk Advokasi Hak Asasi Manusia. Dalam menyiapkan satu laporan khusus mengenai kebebasan beragama di Asia Tenggara, beliau mencadangkan agar mengharmonikan undang-undang negara dengan instrumen-instrumen antarabangsa seperti ICCPR.

Selain beliau, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), YB Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa turut memberikan pandangan berhubung amalan kebebasan beragama di Malaysia. Dalam satu wawancara bersama beliau, portal Malaysiakini melaporkan pandangannya bertarikh 7 Julai 2018, “setiap warga berhak memilih apa saja agama (atau aliran) yang dirasakan betul. Ia terkandung dalam perlembagaan, setiap warga bebas untuk beragama”. Ketika menjawab pertanyaan mengenai Syiah, beliau berkata, “sebagai rakyat Malaysia, mereka tetap mendapat peruntukan kebebasan. Kecuali jika mereka melakukan jenayah, mahu gugat kedudukan negara dalam konteks agama. Itu akan diambil tindakan”.

Pandangan Islam Terhadap ICCPR

Allah SWT telah berfirman dalam Surah an-Nahlu, ayat ke-36 (maksud), “Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Rasul pada setiap ummah (untuk menyerukan) sembahlah Allah dan jauhilah taghut”. Pandangan Ibnu Taimiyyah RA, antara Maqasid Syari’ah untuk menjaga keutuhan Islam adalah dengan beriman kepada Allah dengan sebenar-benarnya, berpegang teguh dengan agama, mempelajari dan mendakwahkannya, menjauhi perbuatan syirik, menghukum orang-orang yang murtad dan menjauhi perbuatan bid’ah. Menghurai lanjut tafsiran ayat di atas, Ibnu Kathir RA turut menyatakan bahawa sesungguhnya Allah tidak redha kekufuran dalam kalangan hamba-Nya.

Kebebasan yang sebenar hanya wujud jika merujuk kepada pembebasan manusia dari segala bentuk penghambaan selain dari Allah SWT. Hal ini juga yang ditekankan oleh Syeikh Ahmad al-Raysuni yang mendakwa bahawa perjuangan menuntut hak-hak asasi manusia dan menuntut kebebasan mutlak merupakan agenda pemikiran dan budaya yang bersumberkan kepada epistemologi Barat. Dr Mohd Fauzi Hamat pula berpandangan, sekiranya manusia menuntut sesuatu yang dianggap haknya dengan maksud untuk melanggar perintah Allah SWT, seperti hak untuk murtad dan hak untuk melepaskan diri daripada peraturan-peraturan Syari’ah atau diistilahkan sebagai undang-undang moral, mereka sebenarnya telah menuntut sesuatu yang menjatuhkan kemuliaan diri mereka sendiri dan ia secara jelas dilarang oleh Islam.

Berdasarkan kepada kes-kes perundangan, bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad telah membuat penelitian terhadap beberapa kes mahkamah. Beliau menyokong penghakiman Hakim Mohamad Ariff dalam kes SIS Forum (Malaysia) v Dato’ Seri Syed Hamid bin Syed Jaafar Albar (Menteri Dalam Negeri) 2010 yang mengatakan, “in relation to the applicability of international norms, …..the position adopted by the Malaysian courts has been not to directly accept norms of international laws unless they are incorporated as part of our municipal law”.      

Banyak juga penghakiman yang berlaku di Malaysia, antara lain dalam kes Indira Gandhi a/p Mutho v Pengarah Jabatan Agama Islam Perak & 5 Ors (2013). Penghakiman Pesuruhjaya Kehakiman Lee Swee Seng berkata, “The importance of the fundamental liberties provision of the Federal Constitution is underscored by the fact that s 2 of the Human Rights Commission of Malaysia Act 1999 in defining ‘human rights’ said it refers to fundamental liberties as enshrined in Part II of the Federal Constitution…In carrying out the purpose of the Act, the commission shall have regard the UDHR to the extent that is not inconsistent with the Federal Constitution.

Berkongsi lanjut pandangan Tun Abdul Hamid Mohamad, beliau melahirkan kekhuatiran, dalam menerima pakai norma-norma antarabangsa, ada hakim-hakim yang meletakkan peruntukan-peruntukan Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia lebih utama daripada peruntukan Perlembagaan Persekutuan sendiri. Dr Abdul Halim Ramli yang menulis buku, ‘Perlembagaan Malaysia - Isu dan Persoalan Perhubungan Kaum’ telah menegaskan bahawa menjaga agama dalam konteks hubungan etnik adalah dengan memastikan kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan hendaklah sentiasa diperlihara. Tidak boleh atas dasar toleransi beragama, maka konsep pluralisme agama diterima dan mendakwa tiada mana-mana agama yang mempunyai ‘exclusive source of truth’.

Ini adalah poin penting untuk diletakkan dalam ‘reservation’ sekiranya kerajaan berhasrat untuk meratifikasi semua Konvensyen Antarabangsa Hak-Hak Asasi Manusia khususnya ICCPR. Kerajaan perlu tegas dalam memposisikan kepentingan Islam dalam negara dan keunikan nilai murni masyarakat Malaysia. Tiada kebebasan mutlak tanpa tanggungjawab. Ia mestilah mengikut lunas yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

MIOR ISFANDY MIOR AZIZAN
Koordinator, THERESEARCH
26 Syawwal 1439 | 10 Julai 2018
Bandar Baru Bangi   

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo