NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Khazanah, Tidak perlu semua CEO undur - Pensyarah



KUALA LUMPUR 26 Julai - Ketua-ketua Pegawai Ek­sekutif (CEO) di bawah syarikat-syarikat pegangan Khazanah Nasional Berhad (Kha­zanah) tidak perlu tergesa-gesa meletak jawatan hanya disebabkan kesemua ahli lembaga pengarah institusi pelaburan strategik itu meletakkan jawatan.

Pensyarah Kanan Putra Business School, Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, ini kerana kesemua CEO itu dilantik berdasarkan kelayakan profesio­na­lisme dan pengalaman masing-masing yang secara dasarnya tidak terlibat dalam mana-mana agenda politik.

Katanya, jika kerajaan mahu merombak pentadbiran sesebuah organisasi, tumpuan harus diberikan kepada ahli lembaga pengarah dan bukannya terhadap lantikan profesional seperti CEO memandangkan lantikan politik biasanya diletakkan di peringkat lembaga pengarah syarikat milik kerajaan (GLC) bagi memudahkan sebarang arahan dikeluarkan daripada kerajaan.

"Dalam konteks Khazanah ini, Tan Sri Azman Mokhtar sendiri memegang jawatan sebagai Pe­ngarah Urusan ketika zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri tetapi apabila Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih jawatan, beliau tidak menukar siapa peneraju Khazanah.

"Malah, kita juga tahu ahli lembaga pengarah Khazanah juga terdiri daripada mereka yang mempunyai pengalaman dan pengetahuan dalam bidang masing-masing. Dengan membenarkan kesemua mereka mele­takkan jawatan serentak akan menyebabkan tiada kesinambungan kepada dasar-dasar dan hala tuju pelaburan Khazanah pada masa hadapan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Hari ini, Khazanah mengesahkan semua sembilan ahli lembaga pengarah termasuk Azman meletakkan jawatan bagi memudah cara peralihan yang lancar dan teratur oleh kerajaan baharu. Turut berada dalam senarai tersebut termasuklah Datuk Seri Nazir Abdul Razak, yang juga Pengerusi CIMB Group.

Portfolio pelaburan Khazanah sangat meluas merangkumi sektor pendidikan, tenaga, kesihatan, pelancongan, infrastruktur dan pembinaan, kreatif, inovasi dan teknologi, agromakanan dan pengangkutan serta logistik.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo