NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kesilapan besar 60 hari Kerajaan Pakatan Harapan




oleh: Abdul Muein Abadi

1. HARGA minyak dijanji akan turun kepada golongan berpendapatan rendah, tapi sebaliknya harga RON95 kekal manakala RON97 diapung. Inflasi dijanji akan dikurangkan, tetapi tarif elektrik dinaikkan hingga bakal bawa kesan berantai. Tol dijanji akan dihapuskan, namun hingga kini pelan pemansuhan beransur-ansur tidak kelihatan.

2. Sedang rakyat masih berkira-kira berapa banyak sebenarnya harga barang turun apabila GST dimansuhkan, cukai SST pula bakal dilaksanakan.

3. Kerajaan Pakatan Harapan (PH) kini baru berusia hampir 60 hari. Walau bagaimanapun, sebahagian ahli politik yang menerajui PH bukanlah individu yang tidak berpengalaman sama sekali dalam menjawat posisi pentadbiran utama negara sebelum ini.

4. Namun demikian, terdapat terlalu banyak isu berbangkit yang seharusnya tidak diambil mudah dan perlu direnungkan secara mendalam oleh kesemua pihak tertinggi dalam pentadbiran negara ketika ini.

5. Terdapat sekurang-kurangnya tiga dimensi yang perlu diberi perhatian. Pertama ialah janji manifesto PH. Kedua ialah percakaran dalaman sesama pemimpin PH. Ketiga dan terakhir ialah pemeliharaan institusi Raja-raja Melayu, agama Islam, dan Bahasa Melayu.

6. Sukar untuk menafikan bahawa tempoh hampir 60 hari pertama pentadbiran kerajaan Pakatan ketika ini dibayangi persepsi kegagalan kerajaan menunaikan janji mereka dalam manifesto PRU-14 yang lalu.

7. Paling kencang tentulah persepsi terhadap janji PH yang berkait dengan kos sara hidup seperti janji memansuhkan tol, janji subsidi petrol bersasar, janji penangguhan pembayaran balik pinjaman PTPTN. Demikian juga janji lain yang meskipun tidak bersifat ekonomi namun tetap menjadi perhatian rakyat seperti isu 30 peratus anggota kabinet wanita dan janji pemansuhan Biro Tatanegara (BTN).

8. Isunya di sini ialah kaedah pengurusan kerajaan Pakatan berkenaan janji yang masih belum mampu mereka penuhi.

9. Perlu ditegaskan bahawa kerajaan PH perlu lebih serius dalam memerangi persepsi bahawa mereka sengaja untuk tidak menunaikan janji-janji mereka dalam PRU-14 yang lalu. Tunjukkan dengan segala data dan fakta yang jelas dan terperinci akan situasi kewangan negara yang tidak mengizinkan segala janji berkenaan tidak dapat ditunaikan, tidak cukup sekadar membuat kenyataan media dan mengulang-ulang skrip menyalahkan kerajaan BN terdahulu.

10. Satu lagi kelemahan besar kerajaan Pakatan hari ini ialah percakaran secara terbuka sesama pemimpin parti dalam Pakatan.

11. Antara deretan isu yang terkini ialah isu tekanan besar DAP Perak memaksa YB Ngeh Koo Ham dilantik menjadi Speaker DUN mengetepikan YB Siti Aisyah dari PKR, isu Ketua Pemuda DAP Perak Wong Kah Koh menghentam pemilihan anggota Kabinet oleh Tun Mahathir secara terbuka, isu kritikan Rafizi Ramli kepada kerajaan berhubung kenaikan tarif elektrik dan pelantikan ahli kabinet, isu kritikan Anwar Ibrahim ke atas pendekatan ala-detektif Lim Guan Eng, dan pelbagai percakaran lagi.

12. Tentu sekali kerajaan Pakatan hari ini berbeza dari segi komponennya berbanding kerajaan BN dahulu. Kali ini, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang diketuai Tun Dr. Mahathir tidak menguasai jumlah kerusi yang besar seperti mana UMNO yang menerajui BN.

13. Sebaliknya, Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang memiliki senarai ahli parlimen Pakatan yang paling ramai dan diikuti DAP. Maka pastilah terdapat sebegitu banyak tuntutan dan rundingan tawar-menawar yang berlaku pada fasa awal pembentukan kerajaan dan pembuatan dasar negara bagi mengimbangi kepentingan setiap parti.

14. Namun eloklah kiranya sebarang ketidakpuasan hati tidak diluahkan secara negatif dan keras kerana imej perpecahan akan mengimpak keyakinan rakyat sekiranya diteruskan dalam jangka masa panjang.

15. Masalah ketiga dan yang paling kontroversi tentulah berkenaan tentang pemeliharaan institusi Raja-raja Melayu, agama Islam, dan Bahasa Melayu. Pendedahan Abdul Kadir Jasin tentang jumlah perbelanjaan Yang Dipertuan Agong (YDPA), isu hangat pelantikan Peguam Negara Tommy Thomas, isu kenyataan rasmi Menteri Kewangan yang diterjemah ke Bahasa Mandarin, ura-ura hubungan tegang Istana dengan Putrajaya yang cuba dikendurkan Anwar Ibrahim, kesemua ini mengundang keresahan dalam kalangan umat Islam di negara ini.

16. Perlu diingat bahawa UMNO masih menguasai kerusi Melayu terbanyak di parlimen dengan sekitar 51 kerusi. Sekiranya langkah drastik tidak diambil segera bagi menunjukkan kerajaan Pakatan hari ini mampu menjadi pelindung kesemua teras Melayu-Islam ini, tidak mustahil UMNO – bahkan PAS – bakal merampas sokongan di kerusi-kerusi Melayu yang kini dikuasai Pakatan.

17. Sedarlah bahawa rakyat amat mendambakan perubahan dan penambahbaikan yang sejati, bukannya 'blame game' yang tidak berkesudahan.

18. Hentikanlah alasan seperti 'segalanya perlu ditangguh dan disemak akibat kerosakan kerajaan terdahulu' sedangkan dalam masa yang sama kelompok tertentu terus rakus mengaut untung. Kisah seperti monopoli tapak DBKL oleh Armada PPBM disokong DAP Bukit Bintang, kisah saham Vincent Tan dalam syarikat berkepentingan ECRL (telah dijual), kisah kekayaan Taib Mahmud yang belum (dan enggan?) disiasat, dan pelbagai kisah lagi yang berlaku secara diam-diam sebegini wajib dibanteras segera.




19. Tunaikanlah segera janji untuk menurunkan beban hidup rakyat. Kurangkan berpolitik menyalahkan pihak lain. Cukuplah berpolitik demi kepentingan kelompok terpilih. Sayangilah rakyat. Kasihanilah rakyat.



Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo